Rakyat diminta beri kepercayaan polis siasat insiden Putra Heights

Rakyat diminta beri kepercayaan polis siasat insiden Putra Heights

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pasukan polis terlibat sejak awal tragedi dan sehingga kini mereka masih menjalankan siasatan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata biar polis melengkapkan siasatan mencakupi semua perkara dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
JITRA:
Masyarakat diminta memberi kepercayaan kepada polis dalam menjalankan siasatan berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, 1 April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pasukan polis terlibat sejak awal tragedi berkenaan, dan sehingga kini mereka masih menjalankan siasatan.

“Saya sentiasa mendapat taklimat terkini dari semasa ke semasa daripada polis. Biar polis lengkapkan siasatan mencakupi semua perkara.

“Usaha mengumpul bukti memerlukan penelitian dan disiplin siasatan yang baik. Jadi, saya ajak masyarakat berikan kepercayaan kepada pasukan polis untuk selesaikan tugas mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program menteri dalam negeri bersama polis dan jamuan hari raya di IPD Kubang Pasu.

Saifuddin berkata, dalam isu itu masyarakat boleh membantu dengan cara tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi terutama di laman media sosial.

“Tiba-tiba muncul pakar-pakar ‘oil and gas’ yang menganalisis sebab musabab bencana. Sementara mereka boleh berbuat demikian atas nama ruang kebebasan bersuara, cuma dalam kes siasatan polis, berikan kepercayaan kepada polis tanpa perlu terlibat dalam membuat sebarang kacau ganggu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata selain polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen juga melakukan tindakan awal dalam proses penggantian dokumen meliputi urusan penggantian kad pengenalan, sijil lahir, sijil perkahwinan dan dokumen lain yang rosak.

“Mereka (mangsa) tidak dikenakan bayaran dan kedua-dua agensi juga diminta untuk memastikan tiada yang tercicir kerana ini penting, menyusul selepas ini banyak lagi bantuan yang datang daripada pelbagai agensi yang memerlukan dokumen pengenalan diri sebagai tanda pengesahan,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan ada segmen masyarakat yang sedang diuji dengan bencana, semua pihak harus menunjukkan rasa simpati dan empati, di samping berusaha membantu menyelesaikan masalah mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.