
Ketua Polis Maran, Wong Kim Wai, berkata jiran yang juga suspek lelaki berusia 57 tahun itu meninggal dunia selepas disahkan pembantu perubatan Hospital Jengka.
Beliau berkata, Balai Polis Sungai Jerik dimaklumkan mengenai pergaduhan seorang wanita dan dua lelaki di tempat kejadian pada 10.15 pagi semalam.
“Menurut saksi, suspek yang juga jiran mangsa tiba-tiba mengamuk dan bertindak agresif sehingga mencederakan dua mangsa menggunakan pisau,” katanya menurut Sinar Harian.
Wong berkata, anggota polis yang tiba di tempat kejadian mendapati suspek tidak sedarkan diri dengan tangan dan kakinya diikat penduduk kampung.
Menurutnya, mangsa wanita berusia 52 tahun yang cedera di dagu dan tangan kanan dengan kesan tikaman di perut sedalam 3cm, kini dalam keadaan stabil di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Katanya, seorang lagi remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga anak saudara wanita terbabit ditikam di paha kanan sedalam 2cm dan sudah dibenarkan keluar hospital.
Beliau berkata, punca kejadian masih disiasat dan empat lelaki yang ditahan akan direman sehingga bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan selesai hari ini untuk mengenal pasti punca kematian.
“Selepas itu, baru siasatan ke atas empat suspek tersebut dapat diteruskan.”
Wong meminta semua pihak tidak menyebarkan gambar suspek serta mangsa di media sosial bagi mengelakkan siasatan polis terganggu dan tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak berbuat demikian.