PRK Ayer Kuning: Beri ‘signal’ tak setuju Umno bersama DAP, kata Razman

PRK Ayer Kuning: Beri ‘signal’ tak setuju Umno bersama DAP, kata Razman

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria juga meminta pengundi muda guna akal fikiran waras undi PN pada pilihan raya 26 Apr depan.

Razman Zakaria
Minggu ini, Razman Zakaria digantung daripada menghadiri sidang DUN Perak selama enam bulan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria meminta pengundi PRK Ayer Kuning supaya memberi ‘signal’ kepada Umno yang ramai tidak bersetuju kerjasamanya dengan DAP menerusi kerajaan perpaduan.

Adun Gunung Semanggol itu mendakwa Umno telah memungkiri janji untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim, merujuk kepada laungan Presiden Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2020 berlangsung Mac 2021.

Zahid ketika itu turut melaungkan ‘No Bersatu’ iaitu penolakan kerjasama pimpinan Muhyiddin Yassin. Bersatu dan PAS bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 sehingga kini.

“Guna kesempatan yang ada ini untuk beri ‘signal’ kepada masa depan negara, tak setuju dengan PMX (Anwar) dan DAP.

“Tak setuju tindakan Umno yang mungkir janji tidak bersama DAP dan Anwar,” kata Razman yang meminta mengundi mengundi calon PN Abd Muhaimin Malek.

Beliau berkata demikian dalam satu video dikeluarkan jentera Muhaimin yang dikongsikannya Facebooknya.

Timbalan pengerusi PN Perak itu turut meminta pengundi muda terutama yang kali pertama mengundi dan tinggal di luar Tapah supaya balik menunaikan tanggungjawab.

“Guna akal fikiran waras untuk mengundi PN,” katanya yang baru-baru ini digantung enam bulan daripada menghadiri sidang DUN Perak.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi pembentukan kerajaan persekutuan dan Perak.

Gabungan itu turut bekerjasama pada PRN di enam negeri dan PRK selepas pilihan raya umum November 2022.

PRK Ayer Kuning pada 26 April depan menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Muhaimin, calon BN Mohamad Yusri Bakir dan KS Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PRK itu diadakan susulan kematian Adun Umno, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lalu.

Ishsam menang kerusi itu pada PRU lalu dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Terdapat 31,897 pengundi berdaftar di Ayer Kuning dengan pengundian awal ditetapkan pada 22 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.