Mahkamah kekal hukuman penjara 30 tahun, 12 sebatan lelaki bunuh rakan

Mahkamah kekal hukuman penjara 30 tahun, 12 sebatan lelaki bunuh rakan

Mohd Azhud Ibrahim turut mengaku terpaksa tidur bersama mayat mangsa beberapa hari kerana tak mampu urus.

Federal-court
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Mohd Azhud Ibrahim terhadap sabitan dan hukumannya.
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki yang membunuh rakannya sebelum tidur bersama mayat mangsa selama empat hari.

Panel tiga hakim diketuai Nallini Pathmanathan menolak rayuan Mohd Azhud Ibrahim, 33, terhadap sabitan dan hukumannya.

Ketika menyampaikan keputusan, Nallini yang bersidang bersama Nordin Hassan dan Hanipah Farikullah berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Azhud merayu keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang mengekalkan sabitan atas kesalahan membunuh namun menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup dan 12 sebatan.

Perbuatan Azhud terbongkar selepas seorang rakan yang mengunjungi rumahnya bertanya kepada lelaki itu mengenai bau busuk yang dihidunya di rumah itu.

Azhud kemudian mengaku terdapat mayat di dalam rumahnya, lapor Bernama.

Dalam keterangan ketika perbicaraan, rakan itu berkata tertuduh memberitahunya dia ‘sudah lama marah’ dan berasa ‘kecewa’ dengan mangsa, Ahmad Azam Ahmad, 43.

Azhud memberitahu mahkamah, dia bertindak demikian untuk mempertahankan diri semasa bergaduh dengan mangsa yang digambarkannya sebagai seorang yang agresif.

Selepas kejadian, Azhud yang bekerja sambilan berkata dia mengambil ganja dan tidur dua hari sebelum terjaga dan mendapati mangsa tidak memberikan sebarang reaksi.

Oleh sebab tidak mampu menguruskan mayat, dia terpaksa tinggal bersama mayat itu.

Laporan bedah siasat mendapati 23 kecederaan luaran dan trauma teruk pada kepala serta dada mangsa.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Azhud berkata, anak guamnya sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan membunuh kerana tiada bukti keadaan menunjukkan secara jelas berlaku kesalahan.

Katanya, selain itu tiada saksi yang melihat kejadian itu.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa raya Mohd Fairuz Johari mengakui tiada saksi mata hadir namun berkata, bukti keadaan yang ada amat kukuh.

Katanya, tertuduh satu-satunya individu dilihat berada di dalam rumah bersama mayat mangsa dan polis menemukan beberapa barang mempunyai kesan darah termasuk senjata, berdasarkan maklumat diberikan tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.