Saya akan selesai isu Petronas-Petros dengan PM secara baik, kata Abang Jo

Saya akan selesai isu Petronas-Petros dengan PM secara baik, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencapai komitmen bersama untuk mencari penyelesaian secara harmoni.

abang johari openg
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata penyelesaian isu Petronas dan kerajaan negeri akan diasaskan kepada keikhlasan bahawa hasil minyak dan gas negara perlu dikongsi secara adil.
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mencapai komitmen bersama untuk mencari penyelesaian berhubung isu membabitkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan kerajaan negeri itu dalam sektor minyak dan gas.

Abang Johari yang kini berada di London berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada perdana menteri semalam.

Katanya, penyelesaian isu itu adalah berteraskan pendekatan menang-menang bagi kedua-dua pihak yang dilakukan secara harmoni dan adil.

“Dalam isu minyak dan gas ini, (memang) adalah kita bermain ‘bola’ sikit-sikit dengan Petronas dan ketika ini, saya pasti anda sudah mengikuti perkembangan semasa berkaitan isu ini.

“Namun, kita akan menyelesaikan perkara ini, malah perdana menteri sudah menghubungi saya pagi tadi (Sabtu waktu London) dan kami mencapai komitmen bersama untuk menyelesaikannya,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) hari ini, menurut Berita Harian.

Johari berkata, penyelesaian itu akan diasaskan kepada keikhlasan bahawa hasil minyak dan gas negara perlu dikongsi secara adil.

Beliau mendedahkan perkara itu pada sesi ‘Townhall Agenda Sarawak’ sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak 2025, Edisi United Kingdom (UK), di London semalam.

Kira-kira 230 pelajar di UK, Jerman dan Perancis menyertai program Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 Edisi UK itu yang turut dihadiri pemimpin kanan kerajaan Sarawak termasuk dua Timbalan Premier Awang Tengah Ali Hasan dan Sim Kui Hian.

Terdahulu, Petronas mengakui menerima notis undang-undang daripada kerajaan Sarawak memaklumkan anak syarikatnya, Petronas Carigali, beroperasi secara haram di Sarawak dan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016.

Petronas Carigali diberi tempoh 21 hari untuk mendapatkan lesen diperlukan yang mana jika gagal boleh membawa kepada penalti kewangan bawah Seksyen 21A ordinan itu.

Isnin lalu, ia gagal mendapatkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuching untuk menghentikan saman difailkan syarikat petroleum Sarawak, Petros untuk menghalang mahkamah daripada mendengar saman berkenaan pembayaran gas.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan di Facebook berkata perbincangan lanjut akan segera diadakan bagi memuktamadkan penyelesaian tersebut sekembalinya Abang Johari.

Beliau juga menggesa semua pihak menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, insya-Allah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.