‘Kerusi kami lebih banyak’, Takiyuddin nafi PAS cemburu kerjasama ‘UmDAP’

‘Kerusi kami lebih banyak’, Takiyuddin nafi PAS cemburu kerjasama ‘UmDAP’

Setiausaha agung PAS dakwa partinya lebih berjaya ketika berada dalam PN berbanding bersama bekas rakan kerjasama itu.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ditemui dalam Festival Perpaduan India anjuran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di Pusat Konvensyen Midlands, hari ini.
SHAH ALAM:
Dakwaan PAS tidak mampu ‘move on’ dan cemburu terhadap hubungan kerjasama Umno-DAP langsung tidak berasas, kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Sebaliknya, beliau berkata kerusi diperoleh PAS sekarang lebih banyak berbanding ketika berada dalam Pakatan Rakyat bersama DAP.

“Dulu kami bersama DAP memang dapat sokongan undi banyak tapi bila keluar dan bersama PN (Perikatan Nasional), kerusi PAS lebih banyak lagi.

“Itu ukuran. Bersama dengan siapa kami lebih berjaya,” katanya ditemui dalam Festival Perpaduan India anjuran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di Pusat Konvensyen Midlands.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, yang mendakwa PAS tidak boleh bergerak ke hadapan selepas memutuskan hubungan dengan DAP, sehingga perlu memangsakan bekas rakan kerjasama itu dan Umno untuk kekalahan PRK Ayer Kuning baru-baru ini.

Takiyuddin turut menyifatkan tindakan mengkritik ‘kegagalan’ PAS dengan hanya berdasarkan keputusan PRK Ayer Kuning bulan lalu sebagai tidak adil, memandangkan DUN berkenaan ‘kawasan putih’ Umno.

“Seperti Sungai Bakap kami mampu pertahankan kerusi…tiada masalah,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin mempertahankan himpunan aman akan dianjurkan Pemuda PAS bagi membantah cadangan Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) 14 Jun ini.

Di sebalik dakwaan cubaan parti itu menutup krisis PN, Ahli Parlimen Kota Bharu berkata bantahan dibuat kerana akta berkenaan bercanggah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Atas dasar itu kami menentang RUU itu, bukan emosi atau politik. Maka himpunan akan diteruskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketua whip PN itu berkata pihaknya masih menunggu maklum balas kerajaan mengenai surat permohonan peruntukan yang dihantar pada Mac lalu.

“Masih belum dipanggil, kita tunggu lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.