
Sebaliknya, Fadhlina menegaskan sokongan sebahagian besar akar umbi kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi menggantikan kedudukan disandang Rafizi Ramli dibuat untuk kelangsungan PKR yang memerlukan tokoh rejuvenasi parti.
“Ini bukan soal anak siapa. Ini bukan soal lelaki atau wanita. Ini bukan soal fraksi siapa,” katanya di Facebook.
“Nurul Izzah, selayaknya saudari di posisi timbalan presiden, menavigasi parti ini bersama seluruh kekuatan angkatan dan pimpinan!,”
Nurul Izzah adalah anak kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga perdana menteri.
Fadhlina yang juga ketua PKR Nibong Tebal berkata, Nurul Izzah juga tokoh pimpinan muda yang lahir ketika PKR membina kekuatan di akar umbi.
“Beliau ada di setiap fasa, bermula dari gelombang merakyatkan reformasi, penubuhan parti, mencipta sejarah sebagai pasukan pembangkang terkuat dalam sejarah negara sehinggalah pembentukan kerajaan Madani.
“Mengangkat Nurul Izzah sebagai timbalan presiden juga cerminan kesungguhan PKR untuk meneruskan tekad Islahiyy, memperkukuh parti, mengangkat keterlibatan pimpinan muda dan wanita dalam agenda pemberdayaan rejuvenasi politik Negara,” katanya.
Sejak semalam, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR menerima banyak sokongan untuk bertanding jawatan nombor dua parti.
Setakat ini, sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka menyatakan sokongan kepadanya.
Turut disebut bakal bertanding jawatan itu bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail namun beliau sehingga kini belum membuat keputusan.