
Katanya, prinsip BN adalah ‘buka pintu seluas-luasnya dan tak tutup pintu serapat-rapat’.
“Ertinya masih ada ruang yang luas bagi jalinan kerjasama politik di Sabah,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais Asean (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, presiden Umno berkata segala keputusan berhubung kerjasama politik di Sabah adalah bersandarkan ‘BN-PH plus’.
“Kita telah buat keputusan bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan mesti diperkuatkan di Sabah.
“Maka terserah kepada kepimpinan BN Sabah dengan panduan daripada pusat untuk mencari jalan paling bijaksana bagi menentukan dominasi kesepakatan untuk PRN17,” katanya.
Minggu lalu, Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, dilapor berkata sebarang keputusan berkait kerjasama dengan mana-mana gabungan pada PRN tidak pernah dipengaruhi mana-mana pihak termasuk dari pusat.
Katanya, Umno dan BN Sabah mempunyai ruang menentukan rakan politik dengan berpandu pada kuasa autonomi, manakala pusat berperanan sebagai penasihat.
Ahli Parlimen Libaran itu juga mencadangkan supaya suatu perjanjian kerjasama ditandatangani mana-mana gabungan yang mahu bekerjasama dengan BN bagi mengelakkan ‘episod tikam belakang’ berulang.
Polemik kerjasama PRN timbul susulan pengumuman Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin pada 13 April berhubung keputusan BN bekerjasama dengan PH.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang juga pengerusi GRS pada masa sama turut membayangkan komponen itu akan bekerjasama dengan PH.
Sebelum ini, Bung mengumumkan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS.