‘Tak daftar lagi, kerusi presiden masih kosong’, seloroh Anwar

‘Tak daftar lagi, kerusi presiden masih kosong’, seloroh Anwar

Anwar Ibrahim mengalihkan persoalan berhubung pencalonan anaknya Nurul Izzah sebagai timbalan presiden PKR

anwar pkr
Anwar Ibrahim tidak jawab secara jelas persoalan pemilihan PKR berkait anaknya Nurul Izzah.
PUTRAJAYA:
“Saya tak daftar lagi, presiden masih kosong.” Seloroh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam berdepan persoalan berhubung pencalonan anaknya Nurul Izzah yang dikatakan akan bertanding timbalan presiden PKR pada pemilihan parti.

Ditemui selepas makan tengah hari di Presint 9, Anwar mengalihkan persoalan media berhubung status Nurul Izzah yang masih belum mendaftarkan diri dalam pemilihan terbabit kepada pencalonannya bagi jawatan presiden.

“Saya tak daftar lagi, presiden masih kosong…saya isi kemudian,” katanya ringkas kepada media sebelum beredar.

Setakat ini, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh belum mengesahkan dan mendaftar pencalonan sebagai timbalan presiden PKR.

Semua calon yang ingin bertanding perlu mendaftar sebelum tengah malam ini.

Jawatan timbalan presiden PKR kini disandang Rafizi Ramli yang membayangkan mempertahankan kedudukan dimenanginya pada 2022.

Nurul Izzah menyertai politik selepas pemecatan Anwar pada 1998 yang mencetuskan gerakan reformasi dan membawa kepada penubuhan PKR.

Beliau sebelum ini berkata akan bertanding jawatan naib presiden PKR, jawatan dipegangnya melalui lantikan selepas tidak bertanding dalam pemilihan 2022.

Bagaimanapun, insiden dalam pemilihan peringkat bahagian termasuk masalah teknikal dan dakwaan salah urus undi mencetuskan spekulasi ada pihak dalam parti tidak berpuas hati dengan kepimpinan Rafizi.

Keadaan itu mendesak Nurul Izzah menyertai persaingan untuk kerusi nombor dua parti.

Bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail turut dikatakan mengintai kerusi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.