
Ketua Polis Segamat Zamry Marinsah, berkata pengadu memaklumkan dia mencari kucing baka Turkish miliknya kira-kira 11.15 pagi semalam sebelum ternampak jirannya menjolok sesuatu di dalam longkang.
“Pengadu kemudian melihat kucing miliknya berada di dalam longkang dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai dipukul suspek.
“Rakaman CCTV menunjukkan suspek memukul kucing tersebut sebelum melemparnya ke dalam kawasan rumah tidak berpenghuni,” katanya dalam satu kenyataan.
Zamry berkata suspek yang berusia lingkungan 70-an ditahan pada 12.20 tengah malam tadi dan mengaku memukul kucing itu kerana berasa terganggu dengan kehadiran haiwan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencederakan haiwan, Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana kekejaman terhadap haiwan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Seksyen 428 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 pula membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Manakala Seksyen 233 AKM memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.