Fuziah sahkan rasmi kongres sayap esok

Fuziah sahkan rasmi kongres sayap esok

Setiausaha Agung PKR mengesahkannya selepas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang sepatutnya merasmikannya, menyatakan pendirian untuk tidak memenuhi undangan.

Fuziah Salleh
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata beliau menerima tanggungjawab untuk merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita parti itu esok.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh mengesahkan beliau akan merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita parti itu yang akan berlangsung di Johor Bahru esok.

Fuziah memaklumkan beliau diberikan tanggungjawab itu dan menerimanya, menurut Berita Harian.

Kongres terbabit sepatutnya dirasmikan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli namun beliau yang juga menteri ekonomi telah menghantar surat rasmi kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan pendiriannya untuk tidak memenuhi undangan.

Rafizi sebelum ini didakwa enggan merasmikan kongres terbabit, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sokongan semakin meningkat terhadap Nurul Izzah Anwar, lawannya untuk jawatan nombor dua parti.

Ia turut dipercayai berkait dengan PKR Sabah tidak menjemputnya ke pelancaran jentera PRN di Kota Kinabalu.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata beliau akan menyentuh mengenai fokus PKR dalam usaha mengukuhkan parti sebaik pemilihan MPP selesai dalam ucapan perasmian nanti.

Menurutnya, beliau juga akan menekankan kepentingan peranan Pemuda dan Wanita PKR bagi memastikan parti terus diperkukuh dengan semangat kebersamaan.

“Saya akan menyentuh tema Kongres kali ini, ‘Kita KEADILAN’ supaya ia dijadikan roh dan pegangan AMK dan Wanita PKR, selain semangat perpaduan dan keperluan untuk kita merapatkan semula barisan selepas selesainya pemilihan MPP.

“Proses pengukuhan parti seperti yang dilakukan ketika Jelajah Pra Kongres perlu diteruskan bagi memastikan hubungan kita kembali bertaut dan bersedia menghadapi PRU16,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.