Adik Beng Hock gesa Anwar tunai janji beri keadilan

Adik Beng Hock gesa Anwar tunai janji beri keadilan

Teoh Lee Lan sangat kecewa siasatan terkini polis atas kematian abangnya sekali lagi diklasifikasikan NFA.

teoh lee lan
Teoh Lee Lan ketika sidang media mengenai kematian abangnya Teoh Beng Hock di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Adik kepada Teoh Beng Hock menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menunaikan janjinya untuk memberikan keadilan dalam kes kematian pembantu politik itu pada 2009.

Dalam satu sidang media hari ini, Teoh Lee Lan berkata beliau sangat kecewa kerana siasatan terkini polis terhadap kematian abangnya sekali lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Pada 1 Ogos 2024, Anwar meminta kami percaya kepada ‘pasukan baharu polis’ dan ‘sistem baharu’ di bawah kepimpinannya. Tetapi apa yang sistem ini berikan kepada kami? Hanya lebih banyak kekecewaan,” katanya pada sidang media bersama peguam keluarga, Ramkarpal Singh.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan polis menyelesaikan siasatan yang tertangguh sekian lama terhadap kematian Beng Hock.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas jatuh dari tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Satu inkues terhadap kematiannya memberikan keputusan terbuka. Bagaimanapun, pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematiannya berpunca daripada tindakan ‘satu atau lebih individu tidak dikenali’, termasuk pegawai SPRM.

Pada Jun 2018, semasa penggal pertama Pakatan Harapan mentadbir kerajaan, Jemaah Menteri bersetuju untuk membuka semula siasatan terhadap kematian Beng Hock.

Anwar juga sebelum ini berikrar bahawa kes itu akan diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Sebelum siasatan dibuka semula pada 2018, dua pasukan khas siasatan telah ditubuhkan — masing-masing pada 2011 dan 2015 — namun kedua-duanya diklasifikasikan sebagai NFA.

Sementara itu, Ramkarpal menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan mengapa siasatan terbaru itu diklasifikasikan sebagai NFA.

Katanya, kematian Beng Hock masih ‘dipenuhi dengan keraguan’, terutama selepas Mahkamah Rayuan pada 2014 menyatakan bahawa kemungkinan pegawai SPRM adalah suspek.

“Adakah AGC kini menyatakan bahawa tiada langsung bukti salah laku daripada siasatan yang dijalankan sepanjang 16 tahun ini? Adakah dapatan Mahkamah Rayuan itu silap?” soalnya.

Ramkarpal turut menegaskan bahawa keluarga Beng Hock berhak mengetahui mengapa siasatan tidak dijalankan mengikut kesalahan bunuh atau menyebabkan kematian.

Lee Lan berkata sejak 2018, pihak berkuasa berulang kali menyalahgunakan Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan salah) untuk menyiasat kematian Beng Hock, bertentangan dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014.

Beliau juga mendakwa bahawa pegawai SPRM yang terlibat dalam soal siasat terhadap Beng Hock enggan bekerjasama dengan pihak polis, dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat.

Katanya, rakyat Malaysia meletakkan harapan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk membawa pembaharuan institusi dan kebertanggungjawaban.

Lee Lan turut menggesa Anwar , yang juga pengerusi PH, memastikan keadilan ditegakkan dalam kematian abangnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.