
Wan Marzuki Wan Jaafar menggesa kemudahan seperti makmal komputer dan capaian digital ditingkat selain penempatan guru berkualiti serta pengenalan program sekolah komuniti berdaya tahan yang mengintegrasi pendidikan, kesihatan dan keusahawanan.
Beliau turut menekankan kepentingan pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pengenalan laluan dual selain pemantapan profesion perguruan antaranya dengan memperkenalkan program guru futuristik.
“Pengukuhan dasar subsidi bersasar memberikan peluang menyalurkan penjimatan secara langsung kepada sektor pendidikan, ia pelaburan paling bernilai bukan sekadar untuk ekonomi tetapi masa depan rakyat dan negara.

“Pelaksanaan strategi tepat, Malaysia mampu melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing global,” kata Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu kepada FMT.
“Bajet pendidikan mesti disokong sistem pemantauan menyeluruh yang menilai impak berdasarkan kualiti hasil pembelajaran.”
Menerusi Belanjawan 2025, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan, lebih tinggi berbanding RM58.7 bilion sebelumnya.
Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan RM18 bilion untuk sektor pengajian tinggi dengan fokus utama kepada akses ke menara gading.
Sementara itu, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula menekankan kepada keperluan untuk memperbaiki sekolah daif dan menambah jumlah guru.

Selain itu, bantu murid dari keluarga golongan kurang berkemampuan dan laksana program penyesuaian pembelajaran masa depan.
Menurutnya, seperti di sektor lain, subsidi bersasar bagi bidang pendidikan juga perlu dilaksanakan mengikut keperluan murid dan sekolah untuk memastikan pulangan pelaburan (ROI).
“Memang kita perlukan tambahan dana untuk pendidikan, ia perlu dibuat lebih bersasar dan beri kesan kepada ROI.
“Namun mesti ada pemantauan kerana kita tahu amalan subsidi kepada semua murid tak sesuai,” katanya yang juga timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM)
Ujarnya, tambahan bantuan kepada sektor pendidikan boleh meningkatkan tenaga mahir negara untuk membantu perkembangan ekonomi dan memajukan Malaysia.