Ahli, orang muda tak terpedaya gimik politik Dr M, kata pemimpin Umno

Ahli, orang muda tak terpedaya gimik politik Dr M, kata pemimpin Umno

MKT Umno Mohd Sharkar Shamsudin dakwa Sekretariat Orang Melayu diperkenalkan untuk menyelamatkan Dr Mahathir Mohamad.

MOHD SHARKAR SHAMSUDIN
Mohd Sharkar Shamsudin mempersoalkan mengapa kini Dr Mahathir Mohamad dilihat bersungguh-sungguh menyatukan orang Melayu termasuk mengajak ahli Umno. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno berkata ahli parti itu dan orang muda tidak terpedaya gimik politik Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Sekretariat Orang Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Sharkar Shamsudin mempersoalkan mengapa kini bekas perdana menteri dilihat bersungguh-sungguh menyatukan orang Melayu termasuk mengajak ahli parti itu.

“Saya tidak tahu niat sebenar Mahathir tetapi merasakan ini hanya untuk selamatkan dirinya.

“Generasi baru hanya mahu melihat masa depan negara. Mereka tidak akan terpedaya dengan gimik politik seperti ini,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, Mahathir memperkenalkan Sekretariat Orang Melayu sebagai ‘payung besar’ untuk ‘menyelamatkan masa depan orang Melayu’ dari segi politik dan ekonomi.

Disertai parti pembangkang seperti Bersatu dan PAS, Mahathir turut mengajak ahli Umno menyertai gabungan terbaharunya itu dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.

Penubuhan itu usaha terbaharu Mahathir menyatukan orang Melayu. Sebelum ini beliau melancarkan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pejuang.

GTA ditubuhkan pada 2022 sebelum PRU15, namun terkubur setahun selepas itu apabila Mahathir selaku pengerusi mengakui gerakan terbabit sudah tidak berfungsi.

Sebelum itu, beliau mengasaskan Pejuang bersama bekas pemimpin Bersatu namun turut keluar parti pada Feb 2023.

Semua calonnya tewas pada PRU15 termasuk beliau yang hilang deposit dan gagal mempertahankan kerusinya di Langkawi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.