
Menurut MBPP, video itu mengandungi tuduhan tidak benar, berat sebelah, serta tidak berlandaskan fakta dan data tepat.
“Kenyataan dalam video itu tidak berasas serta boleh mengelirukan orang awam,” lapor Bernama.
MBPP berkata ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap pencipta video itu, atau individu lain yang sengaja mencemarkan nama baik MBPP tanpa maklumat sah.
Terdahulu, seorang individu memuat naik dua video di TikTok mendakwa MBPP menerima rasuah dan berlaku berat sebelah dalam tindakan penguatkuasaan oleh kakitangan majlis berkenaan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), melancarkan siasatan dalaman terhadap dakwaan mengatakan petugasnya mengambil rasuah, susulan video tular.
MBSP menegaskan ia tidak akan berkompromi jika terdapat salah laku.
Terdahulu, tular video di TikTok memaparkan seorang lelaki mendakwa petugas MBSP menyalahgunakan kuasa di premis perniagaan milik rakannya seperti meminta wang dan menahan warga asing tanpa sebab yang jelas.
MBSP berkata ia telah berjumpa pemilik perniagaan terlibat bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung kejadian itu.
“MBSP juga menuntut pemilik perniagaan itu membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika benar terbukti ada unsur rasuah oleh petugas MBSP,” menurut kenyataan.