Imbasan Belanjawan 2025: Berhemah mendepani cabaran kos sara hidup

Imbasan Belanjawan 2025: Berhemah mendepani cabaran kos sara hidup

Belanjawan 2025 menyasarkan defisit fiskal lebih rendah kepada 3.8% daripada KDNK.

buying groceries beli barang keperluan
Kadar bantuan SARA ditingkatkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 pada 2024, turut menyaksikan peluasan pelaksanaan kepada 5.4 juta penerima bermula April berbanding 700,000 sedia ada. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelbagai inisiatif membabitkan dana sebanyak RM421 bilion bawah Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen kerajaan membantu rakyat melalui pengurusan fiskal berhemah.

Di sebalik cabaran mengimbangi antara kebajikan rakyat dan melaksanakan penyatuan fiskal, kerajaan tetap menepati jaminan walaupun peningkatan RM27.2 bilion berbanding RM393.8 bilion diperuntukkan tahun lalu.

Usaha kerajaan terangkum dalam inisiatif termasuk perbelanjaan RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bukan hanya meringankan beban golongan B40 dan M40, malah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kadar bantuan SARA ditingkatkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 pada 2024, turut menyaksikan peluasan pelaksanaan kepada 5.4 juta penerima bermula April berbanding 700,000 sedia ada.

Kebanyakan penerima memberikan maklum balas ‘mudah dan pantas’ dengan kaedah penebusan barangan menggunakan MyKad sejak April lalu.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan sumber mencukupi bagi memperkasakan kesejahteraan rakyat dengan menyalurkan RM2.9 bilion bagi bantuan tunai bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ini membabitkan bantuan warga emas naik kepada RM600 sebulan berbanding RM500 sebelum ini, dan bantuan kanak-kanak keluarga miskin meningkat kepada RM250 berbanding RM200 bagi seorang anak berusia enam tahun dan ke bawah.

Manakala, RM200 bagi anak berusia lingkungan tujuh hingga 18 tahun, dengan kadar maksimum RM1,000 bagi satu keluarga, serta bantuan am untuk Wilayah Persekutuan naik kepada RM150, dengan kadar maksimum RM500 sebulan.

Keprihatinan kerajaan diteruskan melalui subsidi My50 dan Pas Mutiara dengan peruntukan RM226 juta bagi manfaat 180,000 pengguna Lembah Klang untuk menggunakan bas dan rel Prasarana.

Kemudahan van disediakan Prasarana untuk anak-anak ke sekolah dari stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala, manakala tambang percuma bagi semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY.

Bukan itu sahaja, pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 diberikan bagi rumah kediaman berharga sehingga RM500,000 manakala RM5,000 bagi rumah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000.

Tidak dilupakan kepentingan pengukuhan keterjaminan makanan apabila kerajaan menerusi Belanjawan 2025 menyalurkan insentif berjumlah RM27 juta kepada petani dan penternak untuk meningkatkan hasil mereka.

Ia termasuk usaha membangunkan pengairan dan saliran Jelapang Padi serta meluaskan estet padi Felcra di Sabah dan Sarawak, dengan peruntukan RM65 juta turut diberikan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Sebanyak RM2.78 bilion disediakan sebagai subsidi, bantuan, dan insentif untuk pesawah dan nelayan.

Sementara itu, peruntukan RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan menunjukkan kerajaan mengambil berat aspek pendidikan rakyat tidak mengira di bandar mahupun luar bandar.

Ia termasuk RM2 bilion untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara, merangkumi 543 sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak.

Kementerian Pendidikan Tinggi pula diperuntukkan RM18 bilion yang mana RM635 juta untuk menambah baik prasarana, menggantikan peralatan usang dan meluaskan capaian internet di semua universiti awam.

Manakala, dana pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM500 juta bagi penuntut pengajian bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di institusi pengajian tinggi awam.

Pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi, serta memperluaskan kriteria pemberian geran padanan bawah ikhtiar Geran Padanan Ihsan (Gapai).

Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi daripada keluarga berpendapatan RM4,000 diperluaskan sehingga RM6,000 dengan jumlah geran maksimum sehingga RM5,000. Inisiatif melalui Gapai itu adalah bagi tempoh dua tahun.

Belanjawan 2025 menyasarkan defisit fiskal lebih rendah kepada 3.8% daripada KDNK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.