Polis tahan pempengaruh ‘drift’ di parkir Stadium Batu Kawan

Polis tahan pempengaruh ‘drift’ di parkir Stadium Batu Kawan

Lelaki berusia 26 tahun ditahan tengah malam tadi.

Jay January Siowou
Ketua Polis Seberang Perai Selatan (SPS) Jay January Siowou berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pempengaruh TikTok ditahan selepas melakukan aksi ‘drift’ di kawasan tempat letak kenderaan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, tengah malam tadi.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan (SPS), Jay January Siowou, berkata lelaki berusia 26 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPS kerana disyaki memandu secara berbahaya pada 12.20 tengah malam tadi.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja melanggar undang-undang malah turut membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan orang lain.

Katanya, semakan mendapati lelaki itu pernah ditahan bawah seksyen sama sebelum ini.

“Polis menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan aksi berbahaya yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.