Semak dulu fakta, wakil DAP beritahu ketua MCA mengenai bantuan RM100

Semak dulu fakta, wakil DAP beritahu ketua MCA mengenai bantuan RM100

Lim Lip Eng berkata perdana menteri sudah menjelaskan bahawa dana yang tidak digunakan akan dikembalikan secara automatik kepada kerajaan selepas 31 Dis.

Lim Lip Eng Wee Ka Siong
Lim Lip Eng dari DAP berkata adalah ‘tidak boleh diterima’ apabila Presiden MCA Wee Ka Siong salah faham mengenai bantuan RM100 yang tidak dituntut seperti diumumkan semalam.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP hari ini mengkritik Presiden MCA Wee Ka Siong kerana menggesa satu mekanisme untuk rakyat yang tidak memerlukan bantuan RM100 yang diumumkan semalam untuk memulangkan dana itu.

Dalam satu kenyataan, Lim Lip Eng berkata Wee telah mengeluarkan kenyataannya tanpa menyemak fakta.

Lim, setiausaha DAP Kuala Lumpur, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menjelaskan bahawa sebarang bantuan yang tidak digunakan akan dikembalikan secara automatik kepada kerajaan selepas 31 Dis.

“Dasarnya jelas. Tetapi Wee memilih untuk tidak mengendahkannya dan membuat kenyataan mengelirukan semata-mata untuk kekal dalam perhatian.

“Sebagai bekas menteri dan Ahli Parlimen semasa, ia tidak boleh diterima apabila beliau silap faham dengan perkara semudah itu,” katanya.

Wee telah menggesa kerajaan memperkenalkan mekanisme sedemikian, berkata bantuan yang dikembalikan boleh disalurkan kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Anwar, dalam pengumumannya, berkata bantuan RM100 sekali beri kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) itu akan disalurkan menerusi MyKad penerima.

Menurutnya, bantuan itu boleh digunakan antara 31 Ogos dan 31 Dis untuk membeli keperluan asas daripada lebih 4,100 cawangan, termasuk pasar raya besar seperti Mydin, Lotus, Econsave, dan 99 Speedmart.

Beliau juga berkata kerajaan bercadang mengagihkan semula sebarang bantuan yang tidak dituntut kepada program-program bantuan golongan rentan tahun depan.

Lim berkata ia adalah satu perkara baik untuk mengkritik kerajaan, tetapi komen itu harus berdasarkan fakta.

“Menyebarkan kekeliruan bukan kepimpinan. Ia hanya bising,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.