Lucut juga hak kenderaan logistik, hantar barang guna pemandu warga asing, gesa aktivis

Lucut juga hak kenderaan logistik, hantar barang guna pemandu warga asing, gesa aktivis

Mohammad Hisham Shafie berkata langkah berani itu beri mesej tegas bahawa keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama dan tidak boleh dikompromi.

jpj lorry
Berkuat kuasa semalam JPJ dilapor melaksanakan tindakan melucut hak kenderaan milik syarikat dan pengendali berlesen kenderaan perdagangan menggajikan pemandu warga asing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis jalan raya mencadangkan tindakan melucut hak kenderaan milik syarikat perdagangan yang menggaji pemandu warga asing turut diperluaskan kepada syarikat logistik dan perkhidmatan penghantaran barang.

Mohammad Hisham Shafie berkata, beliau menyokong tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu terhadap syarikat dan pengendali berlesen melibatkan lori, kenderaan perkhidmatan awam dan bas persiaran yang menggunakan khidmat pemandu warga asing.

Katanya, langkah berani itu memberi mesej tegas kepada semua pihak bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata, tindakan majikan mengutamakan keuntungan dengan menggajikan pemandu warga asing tanpa latihan, lesen sah, atau pengetahuan undang-undang jalan raya membahayakan nyawa pengguna lain.

“Keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan. Majikan yang cuai dan mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan undang-undang mesti dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

“Saya gesa penguatkuasaan ini dilakukan secara berterusan bersama agensi penguatkuasaan seperti imigresen dan polis di seluruh negara, termasuk terhadap syarikat logistik, pengangkutan awam dan syarikat penghantaran barang,” katanya dalam kenyataan.

Berkuat kuasa semalam, JPJ dilaporkan melaksanakan tindakan melucut hak kenderaan milik syarikat dan pengendali berlesen kenderaan perdagangan yang menggajikan pemandu warga asing.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata berdasarkan peraturan semasa, warga asing tidak dibenarkan memiliki lesen vokasional seperti lesen kenderaan barangan (GDL) atau lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan sebarang pelanggaran adalah kesalahan serius.

Beliau berkata, tindakan itu susulan peningkatan trend syarikat dan pengendali berlesen menggajikan warga asing dengan bayaran sekitar RM2,500 sebulan serta terlibat dalam kesalahan berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.