Bayi maut, pengasuh taska menangis berdepan pendakwaan

Bayi maut, pengasuh taska menangis berdepan pendakwaan

Bayi lelaki tujuh bulan dilapor sesak nafas akibat tersedak makanan dan susu.

Nor Fatihah Abdul Rahim
Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, dibenar ikat jamin RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen KL. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengasuh taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan tidak membuat pengawasan dan pemeliharaan wajar sehingga menyebabkan kematian bayi lelaki, pada Mei lalu.

Namun, Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai pengasuh didakwa gagal mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berumur tujuh bulan sembilan hari, di sebuah taska di Wangsa Maju, pada 11.08 pagi, 26 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33 (1) (a) Αkta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selesai prosiding, Nor Fatihah yang berada di kandang tertuduh dilihat menangis teresak-esak sambil ditenangkan ahli keluarganya sebelum digari untuk dibawa ke lokap mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, selain bersifat serius kerana membabitkan kematian bayi dan bimbang tertuduh melarikan diri.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon jaminan RM30,000 ke atas berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport sekiranya ada dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Nor Fatihah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan direndahkan kerana bukan daripada keluarga berada serta menanggung ibu, adik dan bapa kandungnya yang mempunyai penyakit saraf, selain bakal berkahwin pada hujung tahun ini.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Sept ini.

Pada 28 Mei, Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju, Syahrul Anuar Abdul Wahab dilaporkan berkata, berdasarkan bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur, bayi lelaki itu disahkan meninggal dunia disebabkan sesak nafas akibat tersedak makanan dan susu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.