
Mereka datang untuk bertemu seorang tauke bergelar ‘Pak Tai’ — berusia 81 tahun dengan mata dan jari yang cekap membidik dan menarik picu.
Di hujung barisan bangunan yang sarat dengan sejarah, berdirinya Pak Tai Photo Studio di simpang Jalan Sultan dan Jalan Petaling, di Petaling Street. Pemiliknya, Low Kok Kee, menyambut anggota dan pegawai polis yang datang untuk mengambil gambar bagi tujuan rasmi masing-masing, dengan pengalaman 55 tahun sebagai jurugambar.
Khidmatnya dicari sejak awal 1990-an kerana kedainya terletak berdekatan balai polis, misalnya Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun HS Lee yang terletak kira-kira 300m dari situ. Kemahiran beliau menyunting gambar mengikut piawaian ketat polis mengundang pelanggan dari balai-balai lain, termasuk Bukit Aman. Lebih dari itu, anggota dan pegawai terus mengunjungi kerana beliau memahami keperluan dan kemahuan mereka.
“Saya sudah hafal jenis pangkat, lencana, dan lambang yang akan dipakai pada seragam jadi sudah tahu apa yang mereka mahu, semuanya dalam simpanan saya, jadi senang untuk disunting,” kata Low kepada FMT.
Melangkah masuk ke Pak Tai Photo Studio umpama menyingkap nostalgia. Gambar warga polis pelbagai pangkat memenuhi dinding — umpama gambar suatu keluarga yang besar.

“Dia macam sebahagian daripada polis,” kata seorang anggota polis sambil ketawa. “Kita datang, sembang pasal pangkat, dia faham. Itu yang buat kita selesa.”
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Adam berkata ramai jurugambar mampu menghasilkan gambar cantik tetapi tidak semua memahami susunan aksesori pada seragam polis.

“Pakcik Low tutup mata pun dia boleh buat sebab hari-hari dia buat benda yang sama,” katanya.
“Kalau kita pergi kedai baru, dia mungkin boleh buat tapi kita kena terangkan banyak kali. Kena cuba dulu banyak kali.”
Low menghargai kesetiaan para pelanggannya, dengan satu ayat ringkas: “Kalau polis tiada, memang saya sudah tutup kedai.”
Satu atau dua tahun lagi…
Kedai seperti Pak Tai Photo Studio barangkali mencari tempat tersendiri dalam dunia fotografi serba digital dan segera kini.
Berbual dengan Low sambil melihat gambar-gambar pada dinding, pengunjung boleh percaya ramai nama-nama penting dalam bidang kepolisian pernah berdiri di bawah lampu kilat Pak Tai Photo Studio — seakan suatu tradisi yang enggan dilepaskan.

Low mengambil alih perniagaan ini pada 1968 pada usia 24 tahun daripada pemilik asal. Suatu ketika pada zaman kegemilangannya Pak Tai Photo Studio memiliki enam jurugambar. Sekarang, meniti senja, Low mengusahakan Pak Tai Photo Studio atas kecekalan sambil memanfaatkan teknologi demi kelangsungan, di kala ramai rakan seangkatan menutup perniagaan.
“Saya tak mahu putus asa. Anak saya beli satu komputer dan walaupun susah mulanya, saya cuba belajar guna. Sekarang sudah pandai pakai, jadi lebih mudah,” katanya.
Pendapatannya kini sekadar cukup membayar sewa kedai dan perbelanjaan harian — kepuasan pelanggan ganjaran sebenar.

“Bila pelanggan suka dan puas hati dengan gambar kita, kita pun seronok,” ujar bapa kepada dua anak ini.
Namun, Low sedar lambat laun dia akan terpaksa melangkah keluar dari pintu Pak Tai Photo Studio, dengan keadaan kesihatan yang semakin merosot.
“Saya pun sudah tidak lama, sudah tua. Mungkin satu atau dua tahun lagi, saya berhenti juga,” katanya dalam nada sedikit sayu.
Selepas selesai diarah Low supaya berdiri tegak untuk kamera, Adam ditanya tentang Low di mata beliau dan rakan-rakan.
“Kalau Pak Tai Photo tiada, kami akan rasa gusar sebab cari orang yang ada kemahiran dan pengetahuan macam dia. Bagaimanapun, saya mewakili anggota polis sangat menghargai dan berterima kasih dengan khidmat Low,” ujarnya.