
Kaji selidik ad hoc itu bagi mendapatkan maklumat mengenai doktor yang diarah bekerja pada hujung minggu, selepas waktu kerja atau dalam bentuk panggilan pasif, tanpa dibenarkan menuntut bayaran.
Ia turut meneliti amalan kakitangan perubatan mengumpul wang untuk membantu pesakit yang tidak mampu membeli barangan penting disebabkan kelewatan proses kelulusan bantuan kebajikan hospital.
Schomos dikatakan mewakili kira-kira 50,000 doktor, menurut pengerusinya Dr Timothy Cheng.
“Berikutan kejadian baru-baru ini, Schomos menjalankan kaji selidik dalam talian untuk mengumpul lebih maklumat mengenai amalan ini yang boleh disalurkan kepada kerajaan,” menurutnya kepada ahlinya.
Schomos berkata ia turut mendapatkan maklumat mengenai amalan hospital lain, sama ada melibatkan kewangan atau sebaliknya, yang dianggap doktor sebagai tidak patut, tetapi dinormalisasikan sehingga menjadi sebahagian daripada budaya kerja.
Dalam soal selidik itu, golongan doktor ditanya sama ada pernah membangkitkan isu berkenaan dengan pihak atasan, dan sama ada sebarang tindakan diambil susulan daripadanya. Ia turut menggalakkan mereka memuat naik dokumen sebagai bukti untuk menyokong dakwaan mereka.
Seorang doktor yang enggan dinamakan berkata, banyak kejadian doktor terpaksa membuat rondaan wad pada hujung minggu tanpa bayaran, khususnya di hospital universiti di mana mereka terpaksa akur dengan arahan pensyarah.
“Pekeliling kementerian kesihatan jelas mengatakan mana-mana doktor yang bekerja lebih daripada empat jam pada hujung minggu layak mendapat elaun panggilan pasif.
“Bukan saja waktu hujung minggu mereka bersama keluarga terganggu, mereka perlu bekerja secara percuma dan terbeban dengan risiko amalan salah,” katanya.
Menurutnya, sejauh mana amalan itu tidak diketahui, tetapi beliau menegaskan itu tidak sepatutnya berlaku langsung malah melihatnya sebagai satu punca ramai doktor meninggalkan hospital awam.
Beliau berkata, maklum balas terhadap kaji selidik itu mungkin dapat mendedahkan sejauh mana penindasan seperti ini berlaku.
Terdapat dua elaun ‘on-call’ bagi doktor iaitu elaun penuh dan elaun pasif.
Doktor panggilan aktif perlu berada di hospital selama 24 jam dan menerima bayaran RM200 pada hari bekerja serta RM220 pada hujung minggu.
Doktor panggilan pasif dalam keadaan bersedia di rumah, dibayar RM80 tetapi berhak mendapat RM140 jika dipanggil masuk bekerja untuk lebih empat jam.