
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata pertemuan Selasa depan itu bagi menyelaras usaha serta mencari kaedah terbaik untuk menyalurkan bantuan ke Gaza.
“Dan kalau boleh minggu depan, selepas berunding dengan mereka (NGO), saya akan hubungi Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi.
“Mudah-mudahan laluan ini lebih mudah. Yang penting, mesej kita ialah menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Terdahulu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Sany Araby Abdul Alim dalam ucapannya memohon keizinan Anwar untuk menggerakkan gelombang kedua misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza melalui jalan darat di Mesir.
Permohonan itu dibuat selepas aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) tidak sempat menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza apabila semua kapal misi mereka dipintas tentera Israel minggu lalu.
Himpunan itu diadakan bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama wira dan wirawati yang menyertai misi kemanusiaan GSF.
Khamis lalu, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Kesemua mereka dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada Sabtu, menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turki.
Mereka selamat tiba di tanah air semalam selepas mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.50 malam.