
Naib Presiden, Masiung Banah, berkata sebagai bekas ketua menteri, Shafie sepatutnya lebih arif membezakan antara isu kemanusiaan dengan ancaman keselamatan serta kedaulatan negeri
Katanya, isu bantuan Malaysia ke Gaza berasaskan nilai kemanusiaan serta solidariti antarabangsa – bukan urusan politik atau kerakyatan.
“Isu PTI di Sabah menyentuh soal keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat tempatan yang terkesan akibat lambakan warga asing tanpa izin.
“Menyamakan kedua-dua isu ini membingungkan rakyat dan memperlihatkan kecelaruan pemikiran seorang pemimpin yang sepatutnya memahami dasar negara,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, tular video ucapan Shafie di satu program Warisan yang kerajaan juga perlu membantu PTI di Sabah sama seperti bantuan RM100 juta kepada Gaza.

Menurutnya, kumpulan tidak mempunyai MyKad dan pasport itu patut dibantu kerana mereka juga dianggap pekerja yang membantu menangkap ikan selain menanam sayur untuk menjadi sumber makanan warga Sabah.
Masiung yang juga penyandang DUN Kuamat turut mempersoalkan motif Shafie mengeluarkan kenyataan sedemikian dan mendakwa mungkin usaha meraih simpati politik dengan memperalatkan isu sensitif menyentuh maruah negeri.
Senada dengan Masing, Ketua PGRS Tambunan Victor Paul Paut pula berkata isu PTI bukan soal simpati atau kemanusiaan tetapi hak, keselamatan dan masa depan Sabah.
“Rakyat sudah lama menanggung akibat kegagalan mengurus isu ini dengan tegas — termasuk ketika Shafie menerajui kerajaan.
“Saya menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik seperti Shafie, berhenti mempermainkan isu PTI untuk kepentingan politik peribadi,” katanya, menegaskan kedaulatan Sabah bukan bahan mainan politik.
“Pemimpin benar-benar berjiwa rakyat Sabah akan mempertahankan negeri ini dengan tegas — bukan menyamakan penjenayah imigresen dengan mangsa peperangan.”