Budak 3 tahun maut dipukul, dicampak ke dinding, pemandu e-panggilan mengaku salah

Budak 3 tahun maut dipukul, dicampak ke dinding, pemandu e-panggilan mengaku salah

B Jeetendraj dihukum 17 tahun penjara susulan tuduhan pindaan membunuh kepada bunuh tanpa niat.

Pemandu e-panggilan, B Jeetendraj, 31, mengaku salah di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh U Varunesh tanpa niat, dalam kejadian pada Ogos 2020. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemandu e-panggilan yang menyepak, menghentak, dan mencampak anak kekasihnya berusia tiga tahun ke dinding mengaku salah kerana membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tertuduh, B Jeetendraj, 31, terlepas hukuman gantung susulan pertuduhan dipinda kepada membunuh tanpa niat selepas representasi dikemukakan terhadap pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan diterima pihak pendakwaan.

Menurut Utusan Malaysia, Hakim Julia Ibrahim menjatuhi hukuman penjara 17 tahun bermula dari tangkap atas pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Jeetendraj dituduh melakukan perbuatan menyebabkan kematian ke atas U Varunesh, dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian dekat sebuah rumah di Pangsapuri Vista Damansara, Kampung Sungai Kayu Ara pada 21 Ogos 2020, kira-kira 11.45 malam.

Pendakwaan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman memohon hakim menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh atas sebab Jeetandraj melakukan tindakan keras ke atas seorang kanak-kanak yang tidak mampu melawan.

Sebaliknya, peguam yang mewakili Jeetandraj, Kee Wei Lon, mengemukakan rayuan supaya tidak menjatuhkan hukuman berat ke atas anak guam atas alasan tertuduh menyesal dengan perbuatan dilakukannya, selain perlu menjaga ibunya menghidap kanser.

Mengikut fakta kes, Jeetandraj berbuat demikian apabila Varunesh menangis kerana ingin mengikuti ibunya untuk membeli makanan, namun tertuduh cuba menenangkan kanak-kanak lelaki itu, namun mangsa terus menangis dan akhirnya menyebabkan tertuduh hilang sabar lalu bertindak memukul mangsa.

Jeetendraj menampar, memukul bahagian belakang, menyepak serta menghentak Varunesh ke lantai serta mencampakkan mangsa ke dinding.

Apabila melihat kanak-kanak itu dalam keadaan lemah, tertuduh kemudian menyimbah air ke muka mangsa, namun mangsa dalam keadaan sukar bernafas, anggota badan tidak bergerak, dan dua matanya tertutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.