Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu melabur bekal alat tulis

Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu melabur bekal alat tulis

Mangsa berusia 40 tahun menyertai pelaburan pembekalan alat tulis secara pukal yang diiklankan di TikTok pada 17 Sept lepas.

Mangsa dijanjikan pulangan pelaburan lumayan dan membuat 10 kali pembayaran modal ke lima akaun syarikat berbeza, kata Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor.
KUALA TERENGGANU:
Seorang penyelia operasi pelantar minyak kerugian RM154,291 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi media sosial.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata lelaki berusia 40 tahun itu telah menyertai pelaburan pembekalan alat tulis secara pukal yang diiklankan menerusi TikTok pada 17 Sept lepas.

Beliau berkata mangsa yang dijanjikan pulangan pelaburan lumayan telah membuat 10 kali pembayaran modal berjumlah RM154,291 ke lima akaun syarikat berbeza dari 19 Sept hingga 3 Okt.

“Mangsa mengambil keputusan menarik diri daripada pelaburan berkenaan setelah gagal mendapat keuntungan dijanjikan.

“Mangsa cuba mendapatkan kembali wang modal dilaburkan, namun suspek memintanya membayar denda sebanyak RM63,191 dan kos pengurusan kedai menerusi TikTok sebanyak RM81,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang menyedari ditipu tampil membuat laporan polis Rabu lepas dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.