Satu lagi pakatan baharu Sabah tak beri kesan besar, kata penganalisis

Satu lagi pakatan baharu Sabah tak beri kesan besar, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat Gerakan Sabah Baharu yang bakal dibentuk Jeffrey Kitingan hanya tambah sesak arena politik Sabah.

Jeffrey Kitingan Hajiji
Gerakan Sabah Baharu yang dibentuk Jeffrey Kitingan mungkin bergelut dalam PRN akan datang kerana kesuntukan masa membina jentera pilihan raya untuk berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Nor.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik berpendapat Gerakan Sabah Baharu yang dibentuk Jeffrey Kitingan bakal bergelut dalam PRN akan datang dengan seorang lagi penganalisis meramalkan gabungan berorientasikan negeri itu tidak akan beri kesan besar.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata landskap politik Sabah kini sudah terlalu padat, dengan banyak parti bersaing untuk merebut kerusi pada PRN akan datang — sama ada secara sendirian atau melalui gabungan sedia ada.

Beliau berkata, tindakan terbaru Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Kitingan dan Parti Progresif Sabah (SAPP) keluar daripada gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya menambahkan lagi kesesakan dalam landskap politik negeri itu.

“Penubuhan satu lagi gabungan nasionalisme Sabah tidak akan membawa banyak perbezaan,” kata Chin kepada FMT.

James Chin
James Chin.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa faktor personaliti, penjenamaan dan sumber memainkan peranan penting dalam kejayaan pilihan raya di Sabah. Pengaruh serta nama besar Kitingan di negeri itu juga memberi kelebihan kepadanya.

“Beliau seorang pemimpin yang dikenali di seluruh Sabah. Semua orang di Sabah tahu beliau sebagai tokoh nasionalis negeri yang kuat. Jadi itu adalah satu kelebihan yang beliau ada.

“Mereka yang menyertai (pakatan baharu ini) boleh mengaitkan diri mereka dengan jenama beliau,” tambahnya.

Sementara itu, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) percaya bahawa pakatan baharu Kitingan mungkin bergelut dalam PRN akan datang.

Bilcher Bala
Bilcher Bala.

Katanya, ini kerana tindakan STAR keluar daripada GRS pada saat-saat akhir memberi mereka masa yang terlalu singkat untuk menarik penyertaan parti lain serta memperkukuh jentera pilihan raya.

Tambahnya, keputusan lima pemimpin kanan STAR, semuanya Adun kekal bersama GRS memberi tamparan hebat kepada usaha parti itu mengekalkan sokongan akar umbi.

“Tanpa penyertaan parti lain, gerakan ini berisiko menjadi sekadar platform untuk STAR, yang lemah dari segi pengaruh dan daya saing. Dalam suasana politik Sabah yang sengit, pengundi cenderung memilih jenama politik yang terbukti berbanding gabungan baharu.

“Kecuali ada parti besar menyertai atau berlaku perubahan besar dalam strategi komunikasi, saya menjangka Gerakan Sabah Baharu akan ditolak dan sukar memenangi sebarang kerusi pada PRN nanti,” katanya.

Selepas keluar daripada GRS, Kitingan berkata beliau sedang membentuk pakatan baharu bagi berdepan PRN akan datang dengan matlamat membentuk kerajaan negeri berasaskan visi ‘Sabah for Sabahan’.

Adun Tambunan itu berkata, pakatan tersebut tidak akan bekerjasama dengan parti Semenanjung di Sabah, namun bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan selepas kerajaan negeri dibentuk.

Chin berkata beliau percaya STAR tidak akan membentuk pakatan pilihan raya dengan mana-mana parti besar lain termasuk Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), yang juga memilih untuk bertanding secara solo.

Sebaliknya, beliau menjangka rundingan hanya akan berlaku selepas pilihan raya selesai ketika proses pembentukan kerajaan negeri.

“Semua rundingan sebenar hanya akan berlaku selepas pilihan raya, kerana orang nak tahu sejauh mana kekuatan anda — berapa banyak kerusi yang anda menang.

“Tiada gunanya bercakap tentang pembentukan gabungan jika anda sendiri gagal memenangi walau satu kerusi. Itu hanya membuang masa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.