Simpan SSPN melalui program Anak Emas P Pinang

Simpan SSPN melalui program Anak Emas P Pinang

Bantuan sekali beri RM200 disediakan kerajaan negeri kepada bayi dan kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim, bersama Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, pada sesi ziarah Program Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi sempena program Anak Emas. (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Program Anak Emas menerusi bantuan sekali beri RM200 hasil inisiatif kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapat sambutan menggalakkan.

Program itu khusus diberikan kepada bayi dan kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah, dengan syarat ibu atau bapa mereka mestilah berdaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang.

Menerusi inisiatif ini, RM100 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala baki RM100 lagi dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon yang layak.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim, berkata dalam tempoh 15 Jan 2024 hingga 30 Sept lalu, sebanyak 7,771 akaun telah dibuka.

“Saya gembira pelaksanaan program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Dalam tempoh 15 Jan 2024 hingga 30 Sept 2025, sebanyak 7,771 akaun telah dibuka atau dibuat penambahan simpanan berjumlah RM777,100.

“Justeru, saya menyeru golongan ibu bapa di negeri ini agar merebut peluang memohon insentif melalui program Anak Emas yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan permohonan program Anak Emas boleh dibuat secara dalam talian melalui isejahtera.penang.gov.my.

Bagi menguar-uarkan inisiatif program Anak Emas, PTPTN telah mengadakan program Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi bertempat di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Dalam program berkenaan, PTPTN memberikan sumbangan RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu pada Oktober 2025.

Sumbangan ini melibatkan pembukaan/ penambahan akaun Simpan SSPN Prime RM100 dan cenderahati berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima.

Dalam pada itu, Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, berkata pihaknya menghargai inisiatif kerajaan negeri untuk membudayakan amalan penabungan melalui Anak Emas.

“Adalah diharapkan agar kerjasama ini akan terus berkekalan demi kebajikan pendidikan anak-anak.”

Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat, antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak

Sejak diperkenalkan pada 2004 sehingga 30 Ogos 2025, deposit Simpan SSPN diterima berjumlah RM22.31 bilion dengan 7.09 juta akaun yang telah dibuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.