
Barjoyai Bardai berkata semua tanah rizab Melayu, lebihan tanah kerajaan, serta sebahagian pegangan saham daripada syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ekuiti Nasional Bhd (Equinas) dan syarikat milik negeri perlu disalurkan ke dalam dana tersebut.

“Dana amanah ini perlu diuruskan secara profesional seperti di Norway, di mana prinsipal tidak akan disentuh dan hanya hasil pendapatan daripada tabung itu digunakan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bahawa perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia-AS boleh menjejaskan dasar tindakan afirmatif untuk Bumiputera.
Barjoyai berkata pendapatan yang dijana daripada dana itu boleh digunakan untuk membantu individu, keluarga, serta perniagaan mikro dan kecil Bumiputera, sekali gus menyediakan bentuk sokongan berterusan sehingga mereka mencapai kejayaan dan mampu berdikari.
“Ini cara mampan untuk terus membantu komuniti dan perniagaan Bumiputera sehingga mereka mampu berdikari serta berjaya dalam kehidupan dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata dana itu juga akan memastikan keadilan dan keupayaan kendiri jangka panjang, bukannya pergantungan jangka pendek kepada subsidi kerajaan atau naungan politik.
Bagi mengimbangi perlindungan Bumiputera dengan liberalisasi perdagangan, Barjoyai mencadangkan pendekatan dua hala yang menumpukan kepada keadilan sambil membina daya saing.
“Ini termasuk menangani ketidakseimbangan era kolonial, menyediakan sokongan bersasar jangka pendek berfokuskan pembinaan kapasiti, dan secara beransur-ansur menamatkan subsidi melalui klausa tamat tempoh,” katanya.
Beliau berkata insentif berasaskan prestasi boleh diperkenalkan ‘untuk memberi ganjaran kepada firma yang mencapai sasaran eksport, inovasi atau produktiviti’, manakala sistem perolehan yang telus akan memastikan kontrak kerajaan kekal ‘berasaskan merit namun tetap inklusif’.
Merujuk kepada contoh global, Barjoyai berkata beberapa negara berjaya membuka ekonomi mereka sambil melindungi kumpulan rentan.
“Korea Selatan melabur besar dalam pendidikan dan R&D ketika meliberalisasikan perdagangan, Chile menggabungkan pasaran terbuka dengan program sosial bersasar, manakala Vietnam menggunakan pelaburan langsung asing untuk memperkukuh keupayaan pembekal tempatan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia boleh belajar daripada contoh ini dengan mewujudkan padang permainan yang sama rata terlebih dahulu, bagi memastikan firma Bumiputera mempunyai kapasiti dan keyakinan untuk bersaing di peringkat global.