
Ahli Parlimen Seputeh itu menyambut baik pengumuman Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bahawa polis akan membuka semula siasatan kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
Namun katanya, tindakan merayu keputusan mahkamah berkaitan liabiliti akan bercanggah dengan langkah tersebut.
“Dengan merayu terhadap liabiliti, kerajaan seolah-olah mencabar dapatan fakta dan undang-undang oleh mahkamah, yang secara tidak langsung menunjukkan bahawa polis berada di pihak yang benar dan hakim berkenaan silap,” katanya dalam kenyataan.
“Ini tidak selaras dengan pengumuman menteri dalam negeri untuk menyiasat semula kes tersebut dan menimbulkan persoalan serius mengenai komitmen kerajaan terhadap kebenaran, ketelusan, dan keadilan.”
Kok menggesa ahli-ahli Jemaah Menteri, yang dijangka bermesyuarat hari ini supaya membincangkan perkara itu dan mengarahkan AGC agar tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
“Sekurang-kurangnya, jika AGC benar-benar mahu meneruskan rayuan, ia sepatutnya hanya berkaitan jumlah pampasan.”
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan dan polis membayar RM37 juta kepada keluarga Koh berhubung penglibatan pihak berkuasa dalam penculikannya.
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri kerana gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya terhadap kehilangan beliau.
Dalam kes Koh, Hakim Su Tiang Joo memutuskan bahawa seorang atau lebih defendan, yang merupakan pegawai polis kini dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Koh dan bertindak atas arahan lapan tahun lalu.
Bagi kes Amri pula, Su memutuskan bahawa kerajaan dan polis telah melanggar tanggungjawab statutori mereka dan pegawai mereka bertindak secara tidak berperlembagaan.
AGC kemudiannya menyatakan bahawa ia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian hitam seperti tentera menariknya keluar dari kereta.
Amri, pengasas NGO Perlis Hope, keluar dari rumahnya kira-kira 11.30 malam pada 24 Nov 2016. Keretanya ditemui di kawasan pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang di Perlis pada awal pagi keesokannya.