
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keputusan Upko keluar PH dicetuskan oleh ketidakpuasan hati terhadap pembahagian kerusi gabungan itu untuk PRN.
Ahad lalu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan gabungan itu akan bertanding di 23 daripada 73 kerusi, dengan PKR meletakkan 10 calon, DAP tujuh, dan Amanah satu manakala Upko hanya lima kerusi.
Walaupun pemimpin PH berkata Upko bebas bertanding di kerusi tambahan, Awang Azman berkata kebimbangan sebenar parti itu tertumpu pada peluang mereka untuk menang.
“Motif tersembunyi di sebalik tindakan Upko keluar daripada PH ialah bilangan kerusi yang diperuntukkan kepada mereka tidak sebanyak yang mereka inginkan,” katanya.
Beliau berkata, parti itu juga mahu diberi peluang bertanding di kawasan yang benar-benar berpotensi untuk dimenangi, tetapi bimbang mereka akan ‘terus diberi kerusi Gred D (sukar menang)’.
Upko mengumumkan penarikan diri daripada PH selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi semalam, dengan Setiausaha Agung Nelson Angang berkata keputusan dibuat selepas mempertimbangkan sentimen rakyat Sabah yang mahu parti tempatan bekerjasama.
Nelson turut menyebut tentang perbezaan pendirian yang belum diselesaikan antara Upko dan parti komponen PH mengenai hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan yang dikutip di negeri itu, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan memberikan autonomi pentadbiran kepada PH Sabah.
Sabtu lalu, Presiden Upko Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi dengan alasan tidak bersetuju pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes mahkamah berhubung hak hasil negeri.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt lalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak menyalahi undang-undang kerana gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil bersih persekutuan selama hampir lima dekad.
Ewon berkata, pendirian AGC mengabaikan asas sejarah pembentukan Malaysia dan menjadikannya ‘janggal’ untuk terus berada dalam Jemaah Menteri sedangkan beliau mempunyai pandangan berbeza.
Seorang sumber yang enggan dinamakan memberitahu FMT, dia meragui alasan sebenar Upko, dengan berkata isu 40% hasil itu telah dibincangkan beberapa kali sebelum ini tanpa menyebabkan ancaman untuk keluar gabungan.
Menurutnya, Anwar yang juga perdana menteri sebelum ini menunjukkan kecenderungan tidak mahu merayu keputusan Mahkamah Tinggi, tetapi keputusan muktamad hanya boleh dibuat selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri hari ini.
“Jika isu 40% hasil itu benar-benar menjadi sebab, Upko boleh meneruskan perbincangan dalam PH dan berunding tentang pendirian mereka.
“Tindakan keluar sepenuhnya kelihatan lebih berkaitan dengan usaha mendapatkan kerusi strategik dan peluang menang lebih tinggi,” kata sumber itu.
Sumber itu turut membandingkan langkah Upko dengan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang baru-baru ini keluar daripada GRS, sambil menyatakan pengagihan kerusi dan kedudukan politik juga memainkan peranan besar dalam keputusan tersebut.
Beliau berkata, langkah STAR juga dilihat oleh banyak pihak sebagai percubaan taktikal semata-mata untuk mengukuhkan kuasa tawar-menawarnya dan bukannya pendirian berprinsip dalam isu dasar.
“Sama seperti Upko, tindakan STAR menunjukkan bagaimana parti-parti Sabah sanggup menukar gabungan untuk mendapatkan kerusi yang lebih baik dan peluang menang lebih besar,” katanya.
Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, sebelum ini berkata STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP), yang turut keluar GRS bulan lalu, berkeras mahu bertanding atas tiket parti masing-masing, khususnya menentang PH.
Masidi berkata, kedua-dua parti itu tidak mahu ‘terikat’ dengan agihan kerusi dimuktamadkan antara GRS dan PH, walaupun Pengerusi GRS Hajiji Noor mengingatkan semua komponen menghormati pakatan dengan PH.
Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, pula menyatakan partinya akan menarik diri daripada GRS jika pakatan pilihan raya dengan PH diteruskan, dengan alasan keputusan dibuat berdasarkan sentimen akar umbi.