
Beliau berkata keputusan yang begitu ‘keras’ itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan boleh menjejaskan keseluruhan struktur pentadbiran kerajaan ‘sejak awal penubuhannya’.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan tidak akan merayu keputusan mahkamah yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan yang diperoleh di negeri itu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, AGC berkata kerajaan berhasrat mencabar beberapa ‘kecacatan’ dalam alasan penghakiman tersebut.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini turut memutuskan bahawa semakan selepas 2021 yang dijalankan oleh kerajaan berhubung hak Sabah itu adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.
Justeru AGC menegaskan rayuan perlu dibuat terhadap perkara itu.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penghakiman itu juga menuduh berlakunya kesilapan besar oleh kerajaan persekutuan dan negeri sejak 1974.
“Tanpa rayuan, keputusan itu boleh dianggap menghukum kerajaan persekutuan di bawah Tun (Abdul) Razak (Hussein) dan semua pentadbiran selepas1974, termasuk kerajaan negeri yang diterajui Tun Mustapha Harun dan Tun Fuad Stephens serta parti-parti politik yang terlibat,” katanya ketika menjelaskan keputusan kerajaan persekutuan.
“Kami berpandangan bahawa perintah substantif perlu dirayu dan beberapa rekod perlu dipadam kerana ia secara tidak adil mengecam semua kerajaan terdahulu.”
Anwar berkata perbincangan mengenai hak 40% hasil Sabah akan diteruskan walaupun negeri itu kini ditadbir kerajaan sementara, dengan rundingan teknikal dijalankan sekarang dan keputusan besar dibuat selepas PRN.
“Buat masa ini, sekurang-kurangnya ketua setiausaha perbendaharaan dan kerajaan negeri boleh berbincang hal-hal teknikal, termasuk perkara yang dirujuk dalam penghakiman itu,” katanya.
“Kemudian, dalam perjanjian teknikal, ia akan dibincangkan bahawa sebarang rujukan kepada menteri kewangan, ketua menteri dan kabinet perlu menunggu selepas pilihan raya negeri dan pembentukan kerajaan baharu.”
Anwar menegaskan bahawa Putrajaya tidak pernah mengabaikan Sabah, yang terus menerima peruntukan tertinggi di bawah kerajaan perpaduan.
“Saya ingin tunjukkan bahawa pandangan kononnya kita mengabaikan Sabah adalah tidak tepat kerana Sabah menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM17 bilion dalam Belanjawan 2025,” katanya.
“Sebagai contoh, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menyatakan bahawa kawalan peraturan bekalan elektrik mesti menjadi hak Sabah. Jadi, kita telah menyerahkannya pada Januari 2024. Namun walaupun kini ia di bawah Sabah, kerajaan persekutuan masih menyediakan RM1.2 bilion bagi memenuhi keperluan elektrik di negeri itu.”
Anwar turut berkata bahawa hak 40% hasil Sabah perlu dilihat dalam konteks keseluruhan rangka belanjawan persekutuan dan negeri.
“Sebab itu rundingan amat penting untuk menentukan perkara mana yang menjadi tanggungjawab negeri dan mana yang menjadi tanggungjawab persekutuan.
“Sebaik perkara itu dipersetujui, barulah kita boleh mengira 40% itu dengan betul,” katanya sebagai menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sama ada hak 40% Sabah itu terpisah daripada peruntukan lain, serta mengenai formula pengiraan, mekanisme audit, dan kesan fiskal terhadap Putrajaya.
Anwar turut memberi amaran agar perbincangan MA63 tidak dipolitikkan, sambil menegaskan bahawa tanggungjawab kerajaan ialah memastikan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri-negeri kekal terpelihara.
“Dan jika ada rasa tidak puas hati, kita mesti mendengar dan cuba menyelesaikannya,” katanya.