
Mahfuz Omar berkata Amanah akan tumpu pada satu kerusi sahaja apabila ditanya tentang perkembangan terkini hasrat parti itu untuk menambah satu lagi kerusi di Sabah.
“Amanah kekal bertanding di satu kerusi di Sulabayan. Kita tumpu satu sahaja,” katanya kepada FMT.
Amanah bakal menamakan Mohd Julpikar Ab Mijan, seorang pengasas pusat tahfiz, sebagai calon.
Presiden Mohamad Sabu mendedahkan Amanah sedang berusaha menambah satu lagi kerusi menerusi rundingan bersama Pakatan Harapan (PH), pada sidang media 8 Nov lalu.
Hasrat telah disampaikan kepada Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail, yang menurut Mohamad akan cuba mengadakan rundingan terakhir sebelum hari penamaan pada 15 Nov.
Mohamad turut menyifatkan Sulabayan sebagai kerusi yang sukar.
Pada PRN 2020, Warisan menang pertandingan tiga penjuru dengan kelebihan 3,245 undi, apabila meraih 5,747 undi berbanding calon BN (2,502) dan Parti Cinta Sabah (75).
Ketua Pemuda Hasbie Muda berkata Amanah akan kerah seluruh jentera untuk memberi saingan di kerusi yang disandang Naib Presiden Warisan, Jaujan Sambakong.
“Kami Amanah, termasuk Pemuda, akan menggerakkan jentera semaksimum mungkin di Sulabayan,” katanya.