Kumpulan hak haiwan desak tindakan tegas terhadap penganiaya beruk

Kumpulan hak haiwan desak tindakan tegas terhadap penganiaya beruk

Persatuan Haiwan Terbiar menerima aduan berhubung video menganiaya beruk yang tersebar di media sosial.

manusia dan monyet
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki menampar dan menghentak seekor beruk yang sedang bergelut untuk melepaskan diri.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak asasi haiwan mendesak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan terhadap satu video tular menunjukkan penganiayaan seekor beruk yang dipercayai berlaku di Kelantan.

Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM) berkata, ia menerima aduan berhubung video itu yang kini tular di media sosial.

“Kami mendesak Perhilitan mengambil tindakan segera.

“Kami menyeru saksi atau individu mempunyai maklumat mengenai insiden ini tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Video itu menunjukkan seorang lelaki menarik beruk yang diikat rantai di lehernya dan memegangnya. Dia juga dilihat menampar dan menghentak monyet itu beberapa kali ketika ia bergelut untuk melepaskan diri.

SAFM mengingatkan orang ramai bahawa penganiayaan haiwan kesalahan serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, di mana Seksyen 86 memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“SAFM akan terus memantau perkembangan kes ini dan memastikan pihak berkuasa bertindak tegas serta segera agar keadilan dapat ditegakkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.