Zahid nafi pakatan rahsia dengan Warisan bentuk kerajaan Sabah

Zahid nafi pakatan rahsia dengan Warisan bentuk kerajaan Sabah

Pengerusi BN itu berkata tindakan BN letak calon di kerusi ditandingi Warisan bukti pakatan seperti itu tak wujud.

Presiden Umno, Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan rundingan antara parti sekiranya keputusan PRN Sabah menghasilkan DUN tergantung.
KOTA KINABALU:
Presiden Umno Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujudnya pakatan sulit antara partinya dengan Warisan bagi menubuhkan kerajaan selepas PRN Sabah 29 Nov ini.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata beliau tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Presiden Warisan Shafie Apdal mengenai sebarang bentuk kerjasama.

“Tidak ada ‘secret pact’ (pakatan rahsia). Saya tidak pernah adakan perbincangan dengan Shafie mengenai perkara itu.

“Kalau ada, kita pun tak akan bertanding di kerusi yang Warisan tandingi dan sebaliknya,” katanya pada majlis sesi libat urus bersama media di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, Zahid tidak menolak kemungkinan perlunya rundingan antara parti-parti selepas keputusan rasmi PRN Sabah diumumkan pada 29 Nov nanti.

“Kita tak tolak kemungkinan untuk adakan rundingan dan bentuk kerajaan selepas keputusan diumumkan.

“Ini kerana tidak ada satu parti atau gabungan yang boleh bentuk kerajaan sendirian,” katanya.

Menjelang PRN Sabah, terdapat spekulasi bertiup kencang mengenai pakatan rahsia antara Umno dan Warisan apabila kedua-dua ketua parti didakwa mengadakan pertemuan sulit.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik sumber ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, satu pertemuan berlangsung antara Shafie dan Zahid dipercayai membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.