
Beberapa pengundi ditemui FMT turut melahirkan harapan kerajaan Sabah mampu untuk meningkatkan ekonomi yang manfaatnya dinikmati rakyat dari pelbagai sudut termasuk peningkatan bantuan sosial.
Mohammad Nur Azizan, 18, berkata kehadiran PATI yang membina rumah di tapak haram sekitar kediamannya menimbulkan keadaan kurang selesa.

Menurutnya, turut timbul isu sosial seperti pergaduhan dan kebersihan tidak terjaga.
“Kami tidak mahu lagi ada PTI yang boleh masuk sesuka hati.
“Perlu ada undang-undang ketat,” katanya yang sebagai pengundi muda turut berharap kerajaan dapat memperbaiki jalan dan membantu mereka menikmati gaji lebih selesa.
Tugas memantau isu PATI terletak di bawah agensi pusat dan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Hajiji Noor pada 2022 menegaskan pendiriannya supaya mereka dihantar pulang manakala hanya individu masuk secara sah diberi kad pekerja asing.
Laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2024 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) antara lain mendedahkan daripada 3.7 juta orang tinggal di Sabah, 2.6 juta adalah penduduk tempatan manakala kira-kira 1 juta bukan warganegara.
Safidil Mukri, 63, pula berharap pemerintah selepas PRN nanti memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi yang beliau percaya boleh dicapai menerusi kestabilan serta kerjasama erat dengan kerajaan pusat.

“Kalau di Darau pula saya harap kemudahan macam jalan raya perlu diperbaiki dan bekalan karan (elektrik) stabil,” kata Saiful merujuk keperluan di kawasan kediamannya.
Bagi Matlan Anuar, 25, beliau berharap kerajaan selepas PRN nanti akan memfokuskan kepada usaha meningkatkan pendapatan golongan muda.
“Bantu anak muda yang baru mula membina kehidupan,” katanya yang bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan.

PRN Sabah akan berlangsung pada 29 Nov depan membabitkan 1.78 juta pemilih berdaftar layak mengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bahawa sejumlah 596 calon bertanding membabitka 74 calon bebas, Warisan (73), Parti Impian Sabah mempertaruhkan (72), Gabungan Rakyat Sabah (55), Parti Solidariti Tanah Airku (46), Barisan Nasional (45) dan Perikatan Nasional (42).
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (40), Upko (25), Pakatan Harapan (22), Parti Kebangsaan Sabah (20), Parti Kerjasama Anak Negeri (17), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (16), Parti Bumi Kenyalang (14), Parti Rumpun Sabah (tujuh), Parti Maju Sabah dan Perjuangan Rakyat (masing-masing lima).
Parti Damai Sabah dan Perjuangan Rakyat, diikuti Pertubuhan Gemilang Anak Sabah, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak dengan masing-masing tiga calon, Parti Bersatu Sasa Malaysia dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dengan seorang calon masing-masing.