
Beliau berkata pengenalan e-Invois itu memang baik namun dari segi pelaksanaan adakalanya memberikan masalah kepada syarikat-syarikat kecil.
“Saya dengar permasalah itu dan sedia membuat penyelarasan namun saya tidak boleh umumkan sekarang kerana ini masa kempen.
“Saya nak beritahu juga kami (kerajaan Persekutuan) dengar, kami akan buat penyelarasan baik dari segi pelaksanaan e-Invois mahupun pelaksanaan SST,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama Masyarakat Cina di sini malam ini.
Beliau berkata pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini, PH tidak akan membentuk kerajaan negeri sebaliknya bersedia memberi sokongan bagi memastikan kerajaan negeri yang dibentuk kelak dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun Anwar berkata untuk membentuk kerajaan di Malaysia dan Sabah, ia mestilah kerajaan yang boleh mewakili semua kaum kerana negara tidak akan berjaya sekiranya terus bermain dengan sentimen negeri mahupun sentimen daerah.
“Main sentimen negeri, main sentimen daerah, kita tidak akan berjaya.
“Saya tahu, ini musim berkempen pilihan raya tetapi kita kena ingat di sebalik semua itu, kita perlu memikirkan perkara yang dipertaruhkan untuk masa depan,” kata beliau.
Anwar turut meletak harapan agar calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura Vivian Wong Shir Yee, DUN Tanjong Papat Tang Szu Ching dan DUN Karamunting George Hiew Vun Zin boleh memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri ke-17.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri sesi santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karamunting bersama Hiew.
Ketibaan beliau disambut meriah dengan pukulan kompang daripada Kumpulan Al-Falah Kampung Karamunting dan turut beramah mesra kira-kira 30 minit bersama masyarakat di kawasan berkenaan.
Anwar juga dijadual menghadiri Ceramah Perdana PMX Sayang Sabah bagi DUN Merotai yang akan berlangsung di Dewan Terbuka Serbaguna Merotai, Tawau malam ini.
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini.