Ada 2 tahun lagi mansuh Sosma, kerajaan diberitahu

Ada 2 tahun lagi mansuh Sosma, kerajaan diberitahu

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata PH akan dianggap gagal jika tidak laksana pembaharuan dijanjikan.

Hassan Karim
Hassan Karim berulang kali mengkritik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan menyeru pemansuhannya.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen PKR menyeru Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dimansuhkan, sambil menyatakan kerajaan mempunyai masa dua tahun lagi sebelum PRU akan datang untuk melaksanakan pembaharuan dijanjikan.

Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, Pakatan Harapan yang menjadi sebahagian kerajaan sudah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk memansuhkan undang-undang drakonian, termasuk Sosma.

“Ada dua tahun lagi kita di dalam Parlimen,” katanya semasa perbahasan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi.

“Kalau kita tidak mansuhkan ini…bermakna kita sama-sama termasuk saya gagal melaksanakan reformasi yang sebenarnya.”

Hassan sebelum ini berulang kali mengkritik Sosma, berkata undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 mencukupi menangani jenayah terancang dan keganasan, yang mana Sosma telah digunakan.

“Saya ingin bertanya: adakah kita tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk menangani jenayah terancang?” soalnya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, William Leong (PH-Selayang), memberitahu Dewan Rakyat kebimbangan mengenai Sosma ada dibangkitkan semasa perundingan dengan kumpulan hak asasi Suaram dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Beliau berkata, isu diketengahkan termasuk definisi ‘kesalahan keselamatan’ yang luas dan kabur, pencabulan hak asasi manusia tahanan melalui penahanan tanpa perbicaraan, penafian ikat jamin, dan pengawasan mahkamah yang terhad, sekali gus menyukarkan akses undang-undang serta terdedah potensi penyalahgunaan.

Jawatankuasa itu membuat lapan cadangan, termasuk kerajaan memperhalusi definisi ‘kesalahan keselamatan’, ‘jenayah keganasan’, dan ‘jenayah terancang’, serta mengkaji semula Seksyen 13 Sosma yang menafikan ikat jamin dan melanggar kebebasan awam.

“Namun, pindaan perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan keupayaan negara untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam,” kata Leong.

Cadangan lain termasuk mengembalikan budi bicara kehakiman dalam pemberian reman, ikat jamin, dan perbicaraan, pemantauan yang diputuskan oleh mahkamah, serta penambahbaikan kebajikan tahanan dan sokongan psikologi sewajarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.