SKMM kesan 957 kandungan jelik kanak-kanak

SKMM kesan 957 kandungan jelik kanak-kanak

Daripada jumlah itu 899 kandungan diturunkan platform media sosial.

mobile phone socmed
Persiapan melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 dan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial mulai 2026 sedang berjalan, kata SKMM. (Gambar Freepik)
CYBERJAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan 957 kandungan jelik kanak-kanak di media sosial dalam tempoh 1 Jan 2024 hingga 30 Nov lalu.

Daripada jumlah itu, 899 kandungan berjaya diturunkan oleh platform media sosial, mencatatkan kadar pematuhan 94%, dengan platform paling responsif ialah Tumblr, TikTok, dan Facebook.

Dalam usaha mengutamakan keselamatan kanak-kanak dalam talian, SKMM memaklumkan kerjasama penguatkuasaan turut dipergiat melalui operasi bersama pihak polis. Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.

“Kejayaan lebih besar dicapai melalui Op Pedo 2.0 (22–30 Sept 2025), yang menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi, termasuk kes melibatkan guru dan warga asing,” menurut SKMM dalam kenyataan.

Dalam aspek pendidikan awam, Kempen Internet Selamat (KIS) terus dipergiat dan terkini telah dilaksanakan di 8,454 institusi pendidikan, melibatkan pelajar, ibu bapa, pendidik, dan komuniti.

Menurut SKMM, persiapan bagi pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 dan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial mulai 2026 juga sedang dilaksanakan.

Inisiatif KIS 2.0 pada 2026 akan menumpukan kepada peningkatan literasi keselamatan digital dalam kalangan ibu bapa. Sejajar pelaksanaan ONSA 2025, suruhanjaya itu memberi tumpuan kepada instrumen subsidiari bagi memperkukuh kewajipan Pemberi Perkhidmatan Berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pendekatan baharu ini meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan, termasuk pengurusan risiko platform serta langkah pencegahan terhadap kandungan memudaratkan.

“SKMM kekal komited memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian melalui kawal selia yang tegas, penguatkuasaan bersepadu, dan pendidikan masyarakat berterusan,” katanya.

ONSA 2025 memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko tinggi, termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, kandungan lucah, kandungan sumbang, dan kandungan berkaitan kemudaratan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.