
Presiden MCA itu berkata, sebaliknya 13 usul penting diluluskan merangkumi semua bidang – ekonomi, politik, perusahaan kecil dan sederhana, dan pendidikan.
“Hari ini bukan kita nak luluskan (jawatan) timbalan presiden (MCA) ganti presiden.
“Sampai masa akan berlaku (pemilihan parti). Jadi, buat masa ini yang penting mengenai survival parti iaitu nak jadi parti lebih kuat,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA.
Beliau berkata demikian mengulas kritikan bekas naib presiden, Ti Lian Ker, berhubung siapa akan mengambil alih kepimpinan parti itu pada 2027, iaitu ketika presiden MCA itu mencapai had tempoh sembilan tahun bagi jawatan tertinggi parti.
Terdahulu, Ti mengkritik Wee kerana lebih banyak menyerang DAP daripada membincangkan masa depan dan kepimpinan MCA dalam ucapan pembukaannya pada perhimpunan agung.
Bekas timbalan menteri itu, berkata Wee telah melepaskan peluang penting menetapkan semula hala tuju politik MCA dalam ucapannya, sambil berkata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu sepatutnya menyerahkan kritikan terhadap DAP kepada akar umbi dan penganalisis politik.
Sementara itu, Wee berkata beliau menghormati pandangan bekas senator itu atas prinsip demokrasi dalam parti.
Beliau turut menegaskan tidak ingin menyerang mana-mana parti termasuk DAP.
“Tetapi hanya bercakap mengenai fakta yang pernah dibangkitkan di dalam Parlimen.
“Ti boleh cakap apa dia nak cakap. Saya hormati pandangan semua orang. Sepatutnya, hari ini dia hadir tetapi dia nak tulis, biarlah. Kita dengar apa jua pandangan,” katanya.
Hari ini, MCA meluluskan resolusi menolak kerjasama dengan DAP pada PRU16 atas alasan perbezaan ideologi.
Wee berkata, parti itu juga akan menentukan hala tuju sendiri jika mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan DAP dalam apa jua bentuk semasa pilihan raya itu.
Resolusi lain termasuk gesaan menggantikan Menteri Pendidikan Fadlina Sidek dengan calon berupaya melaksanakan reformasi selaras tuntutan semasa.
Resolusi lain antaranya mengecam golongan ekstremis dalam parti kerajaan mahupun pembangkang yang menunggang isu perkauman serta agama demi memenuhi agenda politik peribadi
“Ahli MCA perlu bergerak seiring dengan strategi dan langkah MCA Pusat.
“Menyeru kerajaan kurang perbelanjaan untuk projek berorientasikan imej semata-mata. Perkenal semula cukai barang dan perkhidmatan (GST),” menurut resolusi itu.