
Presiden Wee Ka Siong berkata parti itu juga akan menentukan hala tuju sendiri jika mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan DAP dalam apa jua bentuk semasa pilihan raya itu.
“Jika mana-mana parti komponen BN bekerjasama dengan DAP dalam apa jua bentuk semasa pilihan raya umum akan datang, ia membuktikan semangat BN telah mati.
“MCA mestilah bertanding dalam PRU dan PRN akan datang, serta berusaha sepenuhnya untuk mendapatkan mandat rakyat,” katanya.
Dalam ucapan perasmian pada sebelah pagi, Wee berkata MCA akan menilai semula kedudukannya dalam BN jika Umno terus bekerjasama dengan parti luar khususnya DAP.
Beliau berkata MCA tidak akan ‘berdiam diri’ dan akan membuat keputusan yang terbaik untuk menjaga kepentingan partinya.
Pengerusi BN Zahid Hamidi Julai lalu berkata gabungan itu merancang meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 walaupun ada desakan supaya BN bergerak secara solo.
BN yang diterajui Umno memainkan peranan penting membolehkan Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU15 pada 2022, apabila keputusan pilihan raya menghasilkan Parlimen tergantung.
Pada pilihan raya itu, PH memenangi 81 kerusi Parlimen manakala BN memperoleh 30 kerusi, dalam prestasi terburuk Umno setakat ini apabila parti itu hanya menang 25 kerusi.
MCA pula mengekalkan dua kerusi yang dimilikinya sebelum ini.
Resolusi lain termasuk gesaan menggantikan Menteri Pendidikan Fadlina Sidek dengan calon berupaya melaksanakan reformasi selaras dengan tuntutan semasa.
Selain gagal menangani masalah buli dan keganasan di sekolah, Wee berkata: “(Selain itu) mengenakan sekatan tidak munasabah terhadap aktiviti kutipan dana serta penyewaan dewan di sekolah-sekolah Cina, tidak menyatakan peruntukan bagi pelbagai aliran sekolah dalam Belanjawan, serta gagal menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pengajar.”
Resolusi lain seperti berikut:
- Mengecam golongan ekstremis dalam parti kerajaan mahupun pembangkang yang menunggang isu perkauman serta agama demi memenuhi agenda politik peribadi
- Ahli MCA perlu bergerak seiring dengan strategi dan langkah MCA Pusat
- Menyeru kerajaan kurang perbelanjaan untuk projek berorientasikan imej semata-mata
- Perkenal semula cukai barang dan perkhidmatan (GST)