
Aminuddin berkata, pentadbirannya sentiasa merujuk kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan-keputusan tertentu, lapor Sinar Harian.
“Sebenarnya keputusan itu bukan dibuat oleh saya ataupun Exco Kanan Jalaluddin Alias, tetapi keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan parti itu sendiri.
“Apa juga keputusan besar seperti itu memang kita rujuk kepada presiden. Jadi bagi saya, itu keputusan yang telah dibuat dan telah mendapat persetujuan,” katanya.
Beliau menjawab isu pembahagian jawatan politik antara Barisan Nasional (BN) dan PH di negeri itu yang didakwa tidak selaras semangat kerjasama diamalkan di peringkat persekutuan.
Pengerusi BN Negeri Sembilan Mohamad Hasan dalam perbahasan di DUN Negeri Sembilan, pada Selasa lalu, meluahkan rasa kecewa berhubung isu itu dan menegaskan pembahagian jawatan patut dibuat secara adil dan seimbang, seperti diamalkan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut membangkitkan isu pembahagian dua jawatan senator kepada wakil PH, baru-baru ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat meluahkan rasa kecewa kerana janji di peringkat persekutuan untuk mengurus negara bersama tidak dilaksanakan di negeri itu.
Justeru, Mohamad yang juga menteri luar negeri berharap perkara sedemikian tidak berulang pada masa akan datang kerana boleh menimbulkan persoalan, terutama di peringkat akar umbi Umno.
PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas mendapat majoriti dua pertiga apabila memenangi 31 daripada 36 DUN pada PRN 2023.
Kerusi dimenangi ialah DUN Chennah, Pertang, Sungai Lui, Klawang, Bahau, Lenggeng, Juasseh, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat, Ampangan, Pilah dan Bukit Kepayang.
Rahang, Seremban Jaya, Lukut, Repah, Sri Tanjong, Chembong, Gemencheh, Seri Menanti, Jeram Padang, Palong, Rantau, Mambau, Senaling, Johol, Kota, Chuah dan Linggi.