Isu agihan jawatan berisiko lemahkan kerjasama PH-BN di NS

Isu agihan jawatan berisiko lemahkan kerjasama PH-BN di NS

Penganalisis kata kekecewaan pengerusi BN negeri jika tidak diurus dengan baik boleh beri kesan di peringkat akar umbi.

Dun Negeri Sembilan
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, kecewa dengan pembahagian jawatan politik yang didakwa tidak selaras semangat kerjasama diamalkan di peringkat persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis tidak menolak kekecewaan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berhubung pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan jika tidak diuruskan dengan baik berisiko melemahkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRU16.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kenyataan Mohamad boleh dianggap sebagai suara rasmi, maka boleh memberi kesan pada kerjasama di peringkat akar umbi.

“Bila pemimpin tinggi rasa perlu bercakap secara terbuka ia ada potensi menunjukkan masalah dalaman yang serius. Ia juga memberi isyarat akar umbi mahukan pembahagian secara adil, menunjukkan bahawa semangat perpaduan gabungan perlu diperkukuh bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi juga di peringkat negeri.

“Luahan ini boleh jadi kemuncak ketidaksepaduan dalam konteks jawatan dan kuasa negeri tetapi belum tentu menggambarkan perpecahan total di peringkat akar umbi. Ia bergantung kepada sama ada isu ini diselesaikan dengan baik atau membarah,” katanya kepada FMT.

Awang Azman berkata ketegangan di Negeri Sembilan juga boleh merebak ke negeri lain, termasuk Johor yang ditadbir BN, di mana PH berkemungkinan menuntut layanan adil dalam soal agihan jawatan.

“Kenyataan Mohamad memang membuka ‘kotak hitam’ kepada dinamik semasa kerjasama PH-BN di peringkat negeri. Ia memberi amaran bahawa tanpa penyelarasan dan sikap hormat-menghormati, gabungan boleh diuji — bukan hanya di Negeri Sembilan, tetapi negeri lain juga seperti dialami PH di Johor.

“Jika diurus dengan baik, ia boleh membawa kepada mekanisme pembahagian kuasa yang lebih adil dan matang dalam politik semasa,” katanya, dengan peringatan bahawa keadaan politik setiap negeri berbeza.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berpandangan jika pengagihan tidak disalurkan dengan betul ia akan mewujudkan persepsi yang boleh menghakis hubungan BN-PH.

“Apa yang diluahkan oleh Mohamad itu menunjukkan sedikit perasaan tidak puas hati dan kecewa dengan tindakan yang diambil oleh pimpinan lain, di mana ia tidak diletakkan ke dalam konteks yang boleh memuaskan hati semua pihak,” katanya.

BN dan PH membentuk kerajaan di Negeri Sembilan dipimpin menteri besar dari PKR, selepas masing-masing peroleh 14 kerusi dan 17 kerusi pada PRN 2023.

Semalam, Mohamad yang juga Adun Rantau dalam perbahasan di DUN Negeri Sembilan menyatakan kekecewaan dengan pembahagian jawatan politik yang didakwa tidak selaras semangat kerjasama diamalkan di peringkat persekutuan.

Pengerusi BN Negeri Sembilan itu berkata pembahagian jawatan patut dibuat secara adil dan seimbang, seperti diamalkan Jemaah Menteri, dan berharap perkara sama tidak berulang kerana boleh menimbulkan persoalan, khasnya di peringkat akar umbi.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut membangkitkan isu pembahagian dua jawatan senator baru-baru ini kepada wakil PH.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata beliau akan menjelaskan isu pembahagian jawatan politik ini pada sidang DUN hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.