
Kamarul Hairie Elias, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Dia berdepan dua pertuduhan menerima RM4,000 daripada seorang pemilik bot melalui orang tengah secara pindahan dalam talian ke akaun anak kandungnya yang mengetahui tertuduh mempunyai hubungan kerja rasmi itu.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional Taman Bistari di Perak Tengah pada 10 Jan 2023.
Bagi enam pertuduhan lain, Kamarul yang ketika kejadian bertugas di Maritim Malaysia Perlis didakwa menerima RM8,000 daripada pemilik LGH Maju Trading melalui orang tengah menerusi pindahan dalam talian ke akaun anak kandungnya di bank sama pada 7 Julai hingga 10 Dis 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S Sujatha menawarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali.
Tetapi, peguam Rahmatullah Baharudin memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh berkhidmat dengan kerajaan selama 30 tahun, berpendapatan bersih sekitar RM2,700 serta mempunyai tanggungan dua isteri dan 10 anak masih belajar.
Mahkamah membenarkan Kamarul diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan memerintahkannya melaporkan diri di SPRM Tampoi setiap bulan kerana tertuduh kini berkhidmat di negeri itu.
Meor Sulaiman turut mengarahkan perbicaraan kes itu dijalankan di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah bagi memudahkan kehadiran saksi.
Namun, tarikh sebutan semula kes belum ditetapkan kerana perkara itu perlu dirujuk Mahkamah Sesyen Alor Setar terlebih dahulu.