
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Azman Abdullah mengurangkan jumlah sebatan untuk Nur Azmuddin Noor, 45, kepada minimum 12 kali yang dibenarkan untuk pesalah lelaki bawah 50 tahun.
Hukuman 15 sebatan itu dijatuhkan Mahkamah Tinggi Sungai Petani tahun lalu. Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan maksimum 24 sebatan.
Azman yang bersidang bersama Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz, berkata panel itu membuat keputusan sebulat suara untuk membenarkan rayuan itu selepas mendengar hujahan.
Peguam Diar Isda Yazmin Ismail berkata, anak guamnya dituduh bersama isterinya mengedar kanabis seberat 113.201kg di sebuah rumah di Taman Ria, Sungai Petani pada 3 Feb 2017.
Beliau berkata, pihak pendakwaan menawarkan untuk menarik balik pendakwaan terhadap isterinya, dengan syarat Azmuddin perlu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
“Jumlah minimum sebatan rotan wajar dikenakan kerana dia menjimatkan masa mahkamah dengan mengaku bersalah.”
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin bagaimanapun menggesa panel itu mengekalkan 15 sebatan atas alasan berat dadah terlalu tinggi.
Katanya, Mahkamah Persekutuan pernah menjatuhkan minimum 12 sebatan ke atas seorang pengedar dadah yang ditahan dengan 325.7g kanabis.
Mengikut undang-undang, seorang individu dianggap pengedar dadah jika didapati memiliki 200g atau lebih kanabis.