Penuntut IPT mengaku tak salah tuduhan persetubuhan luar tabii

Penuntut IPT mengaku tak salah tuduhan persetubuhan luar tabii

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun pada 29 Nov lalu.

Muhammad Yushakimi
Tertuduh Muhammad Yushakimi Jamaludin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap pelajar perempuan Tingkatan 5 dalam kereta di Lata Janggut, Jeli, 29 Nov lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Yushakimi Jamaludin, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan dalam kereta Perodua Myvi di tempat letak kereta di Lata Janggut, Jeli, pada 2.30 petang, 29 Nov lalu, lapor Harian Metro.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377B memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Bagi pertuduhan kedua, Yushakimi didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan di lokasi serta tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh diwakili peguam Habibah Wahab.

Terdahulu, Siti Aiysha menawarkan jaminan RM20,000 manakala Habibah memohon jaminan minimum diberikan memandangkan anak guamnya masih menuntut di sebuah universiti di Jeli dan dalam tanggungan kedua ibu bapa.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM10,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan kekasih tidak sempat melakukan hubungan seks di dalam kereta selepas terkejut dengan kehadiran polis.

Ketua Polis Jeli, Kamarulzaman Harun, dilaporkan berkata susulan pemeriksaan, penuntut IPT berkenaan ditahan dan dipercayai mengambil pelajar terbabit yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia di sekolah sebelum cuba melakukan hubungan seks dalam kereta di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.