
PETALING JAYA: Reman lelaki yang disyaki mengacu pistol ketika memarahi jirannya di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, minggu lalu disambung empat hari lagi.
Suspek berusia 30-an itu direman tujuh hari bermula 8 Dis lalu dan tamat hari ini.
Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan, berkata suspek akan direman sehingga 17 Dis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Hasil ujian air kencing suspek didapati positif ketamin,” katanya menurut Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai memarahi jirannya dengan mengacukan senjata api susulan pergaduhan di kawasan rumah mereka.