
Muhammad Zulhairi Shunazar Abdul Shukor, 38, yang bertugas di Balai Polis Kuala Perlis dekat sini mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Dia didakwa memandu sebuah kenderaan secara berbahaya yang menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal dan kematian penunggang, Muhammad Firdaus Aiman Zainon.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Wawasan, berhadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini pada 10.20 malam 25 Nov lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Dalam mahkamah sama, anggota polis itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan sama tanpa cermat yang menyebabkan kemalangan dengan sebuah lagi motosikal sehingga mengakibatkan penunggangnya, Aliff Noorhakim Alijesree, 25, parah di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, Zulhairi didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau boleh dipenjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jan depan sebutan semula kes serta serahan dokumen berkaitan dua pertuduhan itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik IPD Kangar S Mageswaran, manakala anggota polis itu diwakil Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hasnor Arysha Hamdan.