Rehatkan ketua polis Melaka, kata peguam

Rehatkan ketua polis Melaka, kata peguam

Rajesh Nagarajan mendakwa Dzulkhairi Mukhtar mengganggu siasatan Bukit Aman melibatkan tiga individu ditembak mati polis di Melaka bulan lalu.

The families of the 3 victims of the shocking Durian Tunggal police shooting
Peguam Rajesh Nagarajan (dua dari kiri) menunjukkan gambar bahagian dalam sebuah kereta didakwa ditemukan terbiar oleh seorang pemandu trak tunda.
PETALING JAYA:
Peguam mewakili keluarga tiga individu ditembak mati polis bulan lalu meminta Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar direhatkan kerana didakwa mengganggu siasatan Bukit Aman.

Rajesh Nagarajan berkata, Dzulkhairi membuat kenyataan awam mengenai kes berkenaan walaupun Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menubuhkan pasukan khas mengambil alih siasatan.

Beliau berkata, tindakan tersebut menimbulkan tanggapan siasatan itu masih dijalankan Polis Kontinjen Melaka, sekali gus membangkitkan kebimbangan mengenai langkah berkecuali.

“Jika Bukit Aman sedang menyiasat perkara ini, sudah jelas Dzulkhairi mengganggu siasatan,” katanya sambil menggesa ketua polis negara dan menteri dalam negeri sama ada meletakkan Dzulkhairi untuk bercuti atau memindahkannya ke negeri lain.

“Jika benar Bukit Aman sedang menyiasat, mana kenyataan Bukit Aman? Siapakah ketua pasukan petugas khas itu? Mengapa kita tidak tahu namanya?” kata Rajesh pada sidang media.

Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menyatakan siasatan itu mesti dijalankan secara telus.

Rajesh juga meminta Bukit Aman mendedahkan sama ada siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk kesalahan bunuh.

Beliau turut menafikan kekasih kepada seorang si mati merupakan penjenayah, selepas Dzulkhairi berkata wanita itu mempunyai 10 rekod kesalahan.

Katanya, seseorang hanya akan mempunyai rekod jenayah jika didakwa dan didapati bersalah di mahkamah, di mana hal sedemikian tidak berlaku ke atas wanita berkenaan.

Beliau mendakwa Dzulkhairi berbohong dan cuba mengalih perhatian daripada insiden tembakan itu, sambil menyatakan laporan polis akan dibuat di IPD Petaling Jaya.

Rajesh juga berkata, beliau akan menulis surat kepada PLUS Malaysia Bhd dan berharap mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian, walaupun menjadi tanggungjawab pihak polis untuk mendapatkan potensi bukti tersebut.

Surat dikatakan daripada saksi

Dalam perkembangan berasingan, aktivis Arun Dorasamy berkata beliau baru-baru ini menerima surat tanpa nama yang kononnya daripada seorang pemandu trak tunda, mendakwa menjumpai salah satu kenderaan si mati, iaitu Proton Saga, yang ditinggalkan terbiar.

Penulis surat itu berkata, seorang lagi pemandu trak tunda mendakwa berada di lokasi kejadian pada 1.25 pagi lalu menyaksikan anggota polis memukul dan mengheret mangsa keluar daripada kereta.

The families of the 3 victims of the shocking Durian Tunggal police shooting
Gambar disisipak dalam surat tanpa nama di mana penulisnya mendakwa terserempak sebuah Proton Saga milik seorang daripada si mati, yang kelihatan rosak dengan satu walkie-talkie dan telefon di dalamnya.

Lapan anggota polis didakwa berada di lokasi kejadian, menaiki tiga kenderaan lain: Perodua Aruz, Proton Waja, dan Proton Saga.

Menurut surat itu, pemandu tersebut berpatah balik selepas diberitahu oleh pegawai polis bahawa itu adalah ‘urusan polis’.

Dia kemudian memaklumkan kepada rakannya, yang merupakan penulis surat itu. Rakannya tiba di lokasi kejadian pada 2.25 pagi, namun mendapati tiada sesiapa di sana, hanya Saga yang terbiar dan kelihatan rosak.

Penulis surat itu juga menyertakan gambar kenderaan termasuk bahagian dalamannya, di mana satu walkie-talkie dan telefon bimbit milik seorang daripada si mati kelihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.