Amaran hujan tahap bahaya 3 kawasan di Pahang hingga esok

Amaran hujan tahap bahaya 3 kawasan di Pahang hingga esok

MetMalaysia berkata hujan sangat lebat dijangka berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin.

hujan ribut
MetMalaysia juga keluar amaran hujan tahap buruk dan waspada di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa kawasan di Pahang hingga esok.

Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan berkata amaran tahap bahaya iaitu hujan sangat lebat dijangka berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

Katanya, amaran hujan berterusan tahap buruk juga dijangka berlaku di Jerantut, Maran dan Bera di Pahang; Dungun dan Kemaman di Terengganu serta di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan di Kelantan; Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu; Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh di Pahang dan di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor.

Selain itu, tahap waspada juga dikeluarkan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca serta saluran media sosial rasmi MetMalaysia dan talian 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.